Penjagaan Kesihatan Pergigian Masyarakat

 

Pengenalan

Berikut adalah program-program di bawah Penjagaan Kesihatan Pergigian Masyarakat yang dikendalikan melalui pendekatan populasi atau menyasarkan masyarakat/individu yang berisiko tinggi

1) Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam

2) Program Selan Fisur di Sekolah

3) Program Kumuran Mulut Berfluorida di Sekolah

4) Program Varnish Berfluorida untuk Kanak-Kanak Toddler

5) Program Pencegahan dan Pengesanan Awal Lesi Pra Kanser dan Kanser Mulut.

6) Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Masyarakat



Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam
Pemfluoridaan bekalan air awam telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai program pencegahan masyarakat yang berkesan untuk mencegah dan mengurangkan kerosakan gigi. Pemfluoridaan bekalan air awam telah diterima sebagai salah satu polisi kerajaan di Malaysia bermula tahun 1972. Sejak tahun 2006, sebanyak 72-78% penduduk di negara ini telah mendapat manfaat daripada program ini. Liputan bekalan air paip yang luas serta kerjasama yang baik di antara Kementerian Kesihatan dengan pelbagai pihak berkuasa air telah dapat menyumbang kepada kejayaan program pemfluoridaan ini. Pemantauan paras fluorida dalam bekalan air awam dijalankan oleh Pegawai Pergigian Daerah. Sekiranya terdapat pelanggaran paras fluorida dalam bekalan air, pihak loji akan dimaklumkan.



Program Selan Fisur di Sekolah
Program Selan Fisur di sekolah merupakan satu program pencegahan klinikal yang bertujuan untuk mencegah karies gigi pada gigi kekal di kalangan murid sekolah. Selan Fisur merupakan bahan yang biasanya diletak pada fisur dan alur di gigi geraham kekal untuk mencegah kejadian karies. Selan Fisur memainkan peranan dalam pencegahan karies kerana dapat melindungi fisur dan alur yang kerap terjadi karies dengan perlindungan fluorida yang paling minima. Program Selan Fisur di sekolah dilaksanakan di seluruh negara bermula tahun 1999. Di bawah program ini selan fisur diletakkan pada gigi yang mempunyai fisur/alur yang dalam untuk murid-murid yang berisiko kepada karies.


Program Kumuran Mulut Berfluorida di Sekolah

Program Kumuran Mulut Berfluorida dijalankan di sekolah bertujuan untuk mengawal dan mencegah kejadian karies gigi di kalangan murid-murid sekolah, terutama di kawasan yang tidak mempunyai paras fluorida yang optima di dalam bekalan air paip. Kumuran Mulut Berfluorida merupakan larutan berfluorida yang digunakan untuk kumuran harian atau mingguan bagi mengekalkan fluorida dalam plak gigi dan air liur untuk membantu mencegah karies gigi. Program ini melibatkan murid tahun 1 hingga tahun 6 di sekolah-sekolah yang terpilih dan mereka dikehendaki berkumur selama 1 minit setiap minggu dengan larutan sodium fluorida 0.2% dan sebanyak 40 kali setahun untuk keberkesanan yang optima.

 


Program Varnish Berfluorida untuk Kanak-Kanak Toddler

Aplikasi Varnis Berfluorida merupakan satu-satunya aplikasi fluorida topikal yang diaplikasi secara profesional untuk mengawal dan mencegah kejadian karies gigi di kalangan toddler. Varnish disapu pada permukaan gigi untuk melambatkan, menghentikan ataupun membolehkan kebalikan proses awal pereputan gigi. Bagi pencegahan karies yang berkesan, empat sapuan Varnish Berfluorida disyorkan untuk setiap 6 bulan. Program Varnish Berfluorida dimulakan bagi kanak-kanak toddler untuk memantapkan Program Early Childhood Oral Healthcare. Bagi mengoptimakan penggunaan sumber, program ini ditumpukan kepada toddler yang berisiko tinggi dalam masyarakat. Program ini dijalankan di lokasi yang dikenalpasti seperti di taska, klinik kesihatan ibu dan kanak-kanak dan di klinik pergigian.

 


Program Pengesanan dan Pencegahan Awal Lesi Pra Kanser dan Kanser Mulut

Program pengesanan dan pencegahan awal lesi pra kanser dan kanser mulut telah dilancarkan pada tahun 1996 dan disasarkan kepada kumpulan yang berisiko. Pada tahun 2014, tambahan kepada saringan bagi masyarakat yang dikenalpasti berisiko tinggi, penekanan juga diberi kepada opportunistic screening untuk pesakit luar di semua klinik pergigian dan perkhidmatan outreach masyarakat. Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan kanser mulut, mendidik individu mengesan tanda-tanda awal gejala kanser mulut (Pemeriksaan Sendiri Mulut) dan menjalankan saringan lesi mulut dan faktor berisiko di kalangan pesakit yang berumur 18 tahun dan ke atas. Pesakit yang mempunyai faktor berisiko dan/atau lesi mulut akan dirujuk untuk pengendalian seterusnya.

Tanda-Tanda Amaran Dalam Mulut Yang Memerlukan Perhatian:

• Ulser yang tidak sembuh dalam 2 minggu

• Lesi putih atau merah

• Ketulan atau penebalan pada tisu lembut oral

• Sukar mengunyah atau menelan

• Sakit telinga

• Susah menggerakkan rahang atau lidah

• Kekebasan di lidah atau kawasan lain di mulut

 

Detect Oral Cancer Early – You can make a difference!

 


Program Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Masyarakat

Perkhidmatan kesihatan pergigian masyarakat dijalankan dengan menggunakan klinik / makmal/pasukan pergigian bergerak. Masyarakat yang disasarkan kebanyakannya adalah dari golongan yang terpinggir seperti warga emas dan orang kurang upaya di institusi, Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Orang Asal di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan juga golongan B40. Perkhidmatan pergigian juga disediakan di klinik pergigian di Urban Transformation Centre (UTC) dan Rural Transformation Centre (RTC) yang merupakan pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat di bandar dan luar bandar. Selain daripada memberi promosi dan pendidikan kesihatan pergigian, perkhidmatan outreach untuk masyarakat juga menyediakan pemeriksaan pergigian, saringan kanser mulut serta pencegahan klinikal, penskaleran, tampalan, cabutan gigi dan pembuatan dentur.

801543
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Minggu lepas
Bulan ini
Bulan-bulan sebelum
Jumlah
452
890
5119
791113
1342
25850
801543

Your IP: 3.226.122.122
2023-04-02 06:42
 
Hubungi kami Media Sosial  

Program Kesihatan Pergigian 

Aras 5, Blok E10, Kompleks E,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62590 Wilayah Persekutuan Putrajaya

Malaysia

Tel : 03-8883 4215

Faks : 03-8888 6133

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENAFIAN: Program Kesihatan Pergigian tidak akan

bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang

diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

 

 

Tarikh kemaskini : 7 Oktober 2022

 

Hakcipta Terpelihara © 2012 - 2022, Program Kesihatan Pergigian, KKM

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Sitemap | Bantuan