Periodontik
![]() |
Periodontologi merupakan satu cabang kepakaran pergigian yang tertumpu secara khusus dalam pencegahan, diagnosis dan rawatan penyakit yang berkaitan dengan tisu penyokong gigi (periodontium) iaitu gusi (gingiva), tulang alveolus (alveolus), ligamen periodontium (periodontal ligament) dan simentum (cementum). Perkhidmatan kepakaran ini disediakan di klinik-klinik pergigian primer kerajaan dengan kepakaran Periodontik dan semua pesakit adalah pesakit rujukan.
Rawatan periodontium termasuk rawatan awal untuk menangani jangkitan seperti penskaleran, pendebridmen akar, rawatan menguruskan kecacatan tulang penyokong gigi dan tisu lembut, pembedahan berkaitan rehabilitasi fungsi seperti pembedahan gusi (gingivectomy), pembedahan flap, regenerasi gusi dan tulang dan rawatan sokongan selepas stabil.
Selain rawatan penyakit periodontium, kepakaran ini juga menyediakan prosedur lain termasuklah persediaan bagi rawatan orthodontik dan prosthodontik, seperti pendedahan gigi terimpak, pemanjangan korona untuk tujuan korona gigi dan pemegang jambatan serta pembedahan bagi persediaan gigi palsu. Rehabilitasi atau pemulihan fungsi pergigian adalah seperti implan pergigian dan regenerasi tulang dan gusi.
Di samping itu, terdapat ramai pesakit yang dirawat oleh pelbagai kepakaran dalam satu-satu masa disebabkan kes-kes yang kompleks.