Tenaga Kerja Pergigian
![]() |
5.1 Pembangunan Kompetensi dan Kecekapan Profesional Pergigian
Keperluan pengamal pergigian yang berkelayakan bagi menangani masalah pergigian pada ketika itu telah membawa kepada penubuhan pusat pengajian pergigian King Edward VII College of Medicine di Singapura pada tahun 1926. Reaksi awal terhadap kursus ini agak mengecewakan, kerana tiada permohonan kemasukan yang diterima. Sekitar tahun 1927 dan 1929, tujuh orang calon telah memulakan pengajian empat tahun, walau bagaimanapun mereka tidak menamatkan pengajian apabila berhenti semasa atau setelah tamat pengajian tahun pertama.
Semangat yang tidak luntur telah membawa kepada penubuhan semula pusat pengajian dengan pelantikan Profesor Bedah Mulut yang pertama dan Dekan Pusat Pengajian Pergigian, Professor Edgar K. Tratman. Kursus pengajian pergigian yang berdasarkan kepada sistem pengajian British telah diperkenalkan. Graduan pertama telah dianugerahkan Licentiate in Dental Surgery (LDS) pada tahun 1933.
Meskipun di bawah pemerintahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua (1941 – 1945), perkembangan pendidikan pergigian tidak terhenti. Pihak Jepun telah memberi mandat untuk meneruskan usaha mengembangkan latihan pelajar jurusan bidang perubatan dan pergigian. Namun paradoksnya, pemerintahan Jepun yang menyokong usaha melatih profesional pergigian tempatan, pada masa yang sama telah mengeluarkan lesen kepada mana-mana individu yang ingin mengamal pergigian. Ini secara tidak langsung telah menjurus kepada penambahan pengamal pergigian yang tidak berkelayakan. Setelah kedatangan pemerintahan British, di bawah British Military Administration di akhir Perang Dunia Kedua, pengamal pergigian yang tidak berkelayakan ini masih dibenarkan untuk berurus niaga.
Setelah negara kembali aman, King Edward VII College telah dibuka semula pada tahun 1946 dan calon yang telah dianugerahkan diploma semasa pemerintahan Jepun telah dikenakan syarat untuk menduduki semula peperiksaan profesional. Calon ini kemudiannya dianugerahkan kelulusan LDS setelah lulus peperiksaan berkenaan. General Medical Council of the United Kingdom telah mengiktiraf secara rasmi kelayakan LDS (Singapura) pada tahun 1946. Dengan penubuhan Universiti Malaya (Singapura) pada tahun 1949, King Edward VII College telah ditukar nama kepada Fakulti Perubatan dan pengajian pergigian kekal sebagai satu jabatan di bawah fakulti tersebut. Kelulusan LDS telah ditukarkan kepada Bachelor in Dental Surgery (BDS).
Berikutan perundangan yang telah diluluskan pada tahun 1961, Universiti Malaya (Singapura) ditukarkan kepada Universiti Singapura pada 1 Januari 1962. Ini juga telah menjurus kepada penubuhan Universiti Malaya (Kuala Lumpur) pada tahun yang sama. Walau bagaimanapun, hanya pada tahun 1972, Fakulti Pergigian Universiti Malaya telah ditubuhkan dengan pengambilan pertama sebanyak 32 orang pelajar. Perkembangan fakulti ini juga telah membawa kepada penubuhan latihan pasca-ijazah pada tahun 1994, dimulakan dengan Master in Community Dentistry dan kemudiannya dalam bidang pergigian klinikal. Setahun kemudian pada tahun 1995, program ijazah asas pergigian telah disemak dan tempoh pengajian telah dilanjutkan dari empat tahun kepada lima tahun. Kursus pengajian pergigian ini telah memperolehi pengiktirafan daripada General Dental Council of Great Britain pada tahun 1998.
Pusat Pengajian Pergigian yang kedua, Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada 1997, diikuti pusat pengajian ketiga Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada tahun 1998 bagi mencapai unjuran keperluan 1 pengamal pergigian kepada 4,000 penduduk pada tahun 2020. Pada tahun 2017, nisbah doktor gigi kepada penduduk ialah 1:3,728. Pada ketika ini, terdapat 13 universiti yang menawarkan ijazah dalam bidang pergigian yang terdiri daripada 7 universiti awam dan 6 institusi pendidikan tinggi swasta.
Kronologi Pembangunan Ijazah Asas Pergigian di Malaysia
Tahun |
Nama Universiti |
1972 |
University of Malaya (UM) |
1996 |
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) |
1999 |
Universiti Sains Malaysia (USM) |
2005 |
Universiti Teknologi Mara (UiTM) |
2007 |
International Islamic University of Malaysia (IIUM) |
2007 |
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) |
2005 |
AIMST University |
2005 |
Penang International Dental College (PIDC) |
2006 |
MAHSA University |
2007 |
International Medical University (IMU) |
2008 |
Melaka-Manipal Medical College (MMMC) |
2011 |
SEGi University |
2013 |
Lincoln University College (LUC) |
5.2 Pendidikan Auksiliari Pergigian
Jururawat Pergigian
Kekurangan profesional pergigian untuk memenuhi keperluan rawatan pergigian bagi 50% penduduk (berusia di bawah 18 tahun) telah memberikan laluan kepada pewujudan skim jururawat pergigian dalam perkhidmatan awam pada tahun 1948. Skim jururawat pergigian ini mengambil contoh daripada New Zealand yang telah wujud dan berfungsi selama 25 tahun. Pada tahun yang sama perkhidmatan pergigian sekolah juga dilancarkan di Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pada tahun 1949, Sekolah Latihan Pergigian telah ditubuhkan di dalam premis Hospital Besar Pulau Pinang dengan Pengarah pertamanya ialah Encik Charles F. Mummery. Kumpulan awal pelajar dipilih daripada kalangan Jururawat Berdaftar Negeri dan dilatih dalam prosedur pengoperasian pergigian. Tahun 1950 menyaksikan pengijazahan kumpulan pertama 14 jururawat pergigian setelah selesai satu tahun kursus.
Sejak itu, sekolah ini telah berkembang dengan pewujudan latihan juruteknologi pergigian pada tahun 1951 dan pembantu pembedahan pergigian pada tahun 1981. Ia kini mempunyai kompleks sendiri, dibuka secara rasmi pada tahun 1966, dan telah dinamakan sebagai Pusat Pergigian Kanak-Kanak dan Kolej Latihan Pergigian Malaysia. Semenjak 2003, sekolah ini telah secara rasmi dikenali sebagai Kolej Latihan Pergigian Malaysia. Sekolah ini merupakan perintis dalam latihan kepada jururawat pergigian di rantau ini dan telah melatih jururawat pergigian dari negara-negara lain seperti Singapura, Brunei, Burma, Hong Kong dan Nigeria.
Jururawat pergigian membantu pegawai pergigian dalam merawat pesakit. Mereka memberikan rawatan klinikal asas kepada mereka yang berumur 12 tahun ke bawah. Pada tahun 1977, julat umur yang boleh dirawat oleh jururawat pergigian telah dinaikkan kepada kanak-kanak berumur sehingga 17 tahun. Jururawat pergigian juga menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan dan pencegahan secara bersepadu. Sebagai ahli pasukan pergigian, jururawat pergigian kekal hingga ke hari ini di bawah seliaan pegawai pergigian.
Jururawat pergigian dilatih dan bekerja di sektor awam sahaja di mana piawaian serta kelayakannya dikawal oleh kerajaan. Di sektor awam, garis panduan praktikal, produktiviti sasaran, inisiatif penambahbaikan kualiti, pembelajaran berterusan, etika kerja dan tindakan tatatertib telah sedia ada wujud. Polisi kerajaan yang sedia ada menunjukkan kerajaan akan terus melatih jururawat pergigian bersandarkan keperluan perkhidmatan. Keperluan jururawat pergigian kini, telah pun melebihi bekalan berikutan perkembangan kesihatan pergigian awam di KKM. Pada peringkat permulaan iaitu pada tahun 1949, terdapat hanya lima orang jururawat pergigian. Sehingga 31 Disember 2017, terdapat sebanyak 2,836 jururawat pergigian di KKM.
Juruteknologi Pergigian
Juruteknologi pergigian bermula sebagai mekanik pergigian yang dilatih di King Edward VII College, Singapura. Kursus bagi mekanik pergigian telah dimulakan di Kolej Latihan Pergigian, Pulau Pinang pada tahun 1951. Klasifikasi mekanik pergigian telah berkembang kepada juruteknik pergigian pada tahun 1959 dan kepada juruteknologi pergigian pada 1996 yang mencerminkan peranannya yang sebenar. Dalam KKM, juruteknologi pergigian tidak hanya berfungsi dalam makmal pergigian malahan juga bertanggungjawab kepada aspek kejuruteraan biomedik dalam pengurusan peralatan pergigian. Tidak seperti jururawat pergigian, juruteknologi pergigian boleh bekerja di sektor swasta. Sehingga 31 Disember 2016, terdapat sebanyak 1,855 juruteknologi pergigian diseluruh negara iaitu, 923 berkhidmat di KKM dan 119 bertugas di fasiliti kerajaan yang lain dan 813 berkerja di sektor swasta.
Pembantu Pembedahan Pergigian
Pada tahun 1951, Skim Pembantu Jururawat (Pergigian) telah diperkenalkan bertujuan untuk memberikan sokongan klinikal kepada pegawai pergigian. Kumpulan auksiliari ini perlu mengikuti kursus selama dua tahun semasa dalam perkhidmatan. Walau bagaimanapun pada tahun 1995 mereka telah dikenali sebagai Pembantu Pembedahan Pergigian (PPP) sehingga ke hari ini. Program latihan PPP secara formal di Kolej Latihan Pergigian hanya dimulakan pada tahun 1982. Pada tahun 1993, kaedah latihan telah menggabungkan konsep pendidikan jarak jauh. Sehingga 31 Disember 2016, terdapat sebanyak 4,177 PPP diseluruh negara iaitu, 3,783 berkhidmat di KKM dan 341 bertugas di fasiliti kerajaan yang lain dan 53 berkerja di sektor swasta.