Era Permulaan
![]() |
Rekod terawal pergigian di Tanah Melayu bermula sejak 1869 di Singapura, yang ketika itu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Doktor pergigian yang pertama adalah doktor pergigian dari Hong Kong bernama Cheong Chun Tin, yang membuka Klinik Pergigian swasta selepas memperolehi kelayakan dari San Francisco. Beliau tidak pernah terfikir untuk menghantar anak-anaknya menjalani latihan secara formal dalam bidang pergigian. Selepas pemergian beliau, dua orang anak lelakinya yang tidak mempunyai kelulusan formal telah meneruskan amalan bapa mereka. Dari sinilah bermulanya era di mana doktor pergigian yang tidak berkelayakan berkembang maju.
Pada tahun 1899, James Logan telah dicatatkan membuka Klinik Pergigian di Pulau Pinang. Pada tahun 1912 pula, Encik Frank Moffat dicatatkan sebagai doktor pergigian pertama di Kuala Lumpur yang menggelarkan dirinya sebagai 'doktor pergigian pembedahan dan mekanikal'. Dalam tempoh Perang Dunia Pertama (1914-1918), seorang doktor pergigian berbangsa Jepun dilaporkan tiba pada tahun 1916. Seterusnya penghijrahan doktor-doktor pergigian ke Tanah Melayu pun bermula.