Cetak

Oral Health FAQs

1.    Penyakit Mulut dan Keadaan-keadaannya

Pereputan Gigi
Apakah pereputan gigi?

Pereputan gigi atau karies gigi merupakan penyakit berjangkit berkait dengan pemakanan  yang sering melibatkan gigi.

Apakah penyebab karies gigi?

Karies gigi dipengaruhi oleh berapa kerap gula diambil bukan pada jumlah amaun gula  yang diambil. Bakteria yang hadir di dalam mulut menukarkan gula dan kanji di dalam makanan kepada asid yang menyebabkan karies gigi.

Apa yang boleh saya lakukan untuk mencegah karies gigi?

Kawal pengambilan gula

Makanan bergula  secara idealnya hanya perlu dimakan bersama  hidangan utama, jika ia diambil sebagai snek ia meningkatkan masa asid terdedah di dalam mulut. Di samping itu, kadar aliran air liur adalah lebih tinggi pada waktu hidangan utama. Air liur membantu dalam membersihkan gula di dalam  mulut kerana ia dapat mengurangkan penghasilan asid. Sesetengah minuman seperti minuman air berkarbonat atau lemon adalah sangat berasid. Selain adanya karies gigi, ia mungkin melembutkan dan menghakis permukaan gigi (hakisan enamel).
Kekalkan kebersihan mulut yang baik

• Berus gigi secara menyeluruh setiap hari dengan ubat gigi berfluorida
• Floss gigi setiap hari bagi membersihkan celah-celah gigi
• Dapatkan pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya sekali setahun
 
Penyakit Gusi
Bilakah berlakunya penyakit gusi?

Penyakit gusi boleh bermula di peringkat kanak-kanak dan boleh menjadi lebih teruk di awal usia dewasa hingga ke peringkat pertengahan umur

Apakah penyebab penyakit gusi?

Penyakit gusi disebabkan oleh plak yang terkumpul di antara dan di sekeliling leher gigi. Bakteria pada plak menghasilkan toksin yang merengsakan tisu gusi yang menyebabkan gusi menjadi kemerahan, keradangan dan berdarah. Jika tidak dikawal, penyakit gusi boleh merebak ke gentian sokongan dan tulang yang menyokong gigi dan akhirnya menyebabkan gigi menjadi longgar.

Mengapa gusi saya berdarah ketika memberus gigi?

Gusi berdarah selalunya merupakan tanda penyakit gusi. Keadaan ini selalunya akan pulih jika plak disingkirkan melalui pemberusan dan gigi diflos setiap hari. Pendarahan gusi juga kerap berlaku semasa tempoh perubahan hormon ketika baligh dan kehamilan. Namun begitu, kadang-kala pendarahan gusi juga merupakan tanda gangguan penyakit darah.

Kanser Mulut Adakah kanser mulut boleh dicegah?

Sebenarnya, anda boleh mengurangkan risiko mendapat kanser mulut dengan mengamalkan tabiat gaya hidup yang sihat.
Bagaimana saya boleh melindungi diri saya daripada mendapat kanser mulut?

• Elakkan penggunaan sebarang jenis produk tembakau (contohnya rokok, tembakau paip, cerut, mengunyah tembakau) terutama sekali bersama dengan pengambilan alkohol yang berlebihan.
• Elakkan mengunyah sirih khususnya bersama-sama tembakau.
• Elakkan pengambilan alkohol yang berlebihan.
• Pendedahan kepada cahaya matahari yang berulang kali boleh meningkatkan risiko kanser bibir.
• Makan makanan yang terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran segar yang kaya dengan antioksida vitamin A, C dan E.
• Kekalkan kesihatan mulut yang baik.
• Berjumpa dengan doktor gigi anda sekurang-kurangnya sekali setahun untuk pemeriksaan mulut. Kanser sering bermula sebagai bintik kecil putih atau merah di mana-mana bahagian mulut yang tidak disedari .
• Pengesanan awal kanser mulut boleh meningkatkan peluang kejayaan rawatan.
• Lakukan pemeriksaan mulut sendiri. Luangkan masa beberapa minit secara berkala untuk diperiksa bibir, gusi, permukaan dalam pipi (cheek lining- dalam mulut), lidah serta lantai mulut dan lelangit mulut anda.

Perhatikan jika terdapat apa-apa perubahan berikut dalam mulut anda:

• Perubahan warna seperti tompok merah atau putih
• Gumpalan, penebalan, tompokan kasar, berkerak atau kawasan kecil yang terhakis
• Ulser secara berterusan yang tidak sakit / sakit yang mudah berdarah dan tidak sembuh
• Kesukaran mengunyah, menelan, bercakap atau menggerakkan rahang atau lidah
• Perubahan suara
• Perubahan dalam cara susun atur gigi anda
• Sakit, rasa tidak selesa atau kebas di mulut atau bibir
Di samping itu, perhatikan perubahan lain seperti penurunan berat badan secara mendadak  atau terdapat ketulan pada leher anda. Jika keadaan ini berterusan, sila hubungi doktor gigi anda untuk pemeriksaan.

Apakah maloklusi dan penyebab keadaan ini berlaku?

Maloklusi merupakan gigitan yang bermasalah. Ini berlaku apabila saiz dan bentuk gigi tidak sepadan dengan rahang. Pertumbuhan rahang dan saiz gigi dipengaruhi oleh genetik ibu bapa. Maloklusi juga disebabkan oleh kehilangan terlalu awal gigi susu menyebabkan gigi bersebelahan bergerak ke ruang gigi tersebut dan kehilangan ruang.
Apa yang perlu saya lakukan jika anak saya yang berusia 6 tahun mengalami kesesakan gigi?

Masalah kesesakan gigi  kerap berlaku bagi kebanyakan kanak-kanak dan orang dewasa. Kesesakan gigi boleh mengakibatkan masalah gigi di masa akan datang seperti kerosakan gigi, keradangan gusi (gingivitis) dan penyakit periodontal. Jika kesesakan gigi berlaku pada kanak-kanak berusia 10-11 tahun di mana semua gigi kacip atas dan bawah dan gigi taring telah tumbuh, masalah kesesakan gigi mungkin ini tidak akan selesai dan gigi anak anda perlu diperiksa pakar ortodontik atau pakar pergigian pediatrik.

Sakit gigi

Apa yang harus saya lakukan jika merasa sakit di dalam mulut saya?

• Sakit

Sakit gigi boleh berlaku dalam beberapa keadaan. Ia terdiri daripada sakit yang tajam, sakit yang tumpul, berdenyut, sakit apabila memberus gigi dan sakit apabila menggigit. Jenis dan sifat sakit biasanya menjadi penunjuk terhadap tahap keterukan masalah.

Sakit yang tajam
Sakit jenis ini selalunya disebabkan ada lubang pada gigi dan berpunca daripada meminum air yang panas atau sejuk.
Sakit yang tumpul
Sakit jenis ini dirasai tanpa sebarang ransangan. Ia disebabkan oleh bacteria yang menyerang ruang saraf dan menyebabkan kerosakan sel-sel saraf yang masih hidup. Sakit ini mungkin dirasai semasa baring pada pada katil dan waktu malam. Ini disebabkan oleh peningkatan tekanan darah dalam gigi semasa pesakit baring.
Sakit yang tajam semasa menggigit
Rasa sakit mungkin berlaku semasa anda menggigit. Selalunya melibatkan gigi geraham. Ia disebabkan adanya rekahan halus (seperti garis helaian rambut) pada enamel  yang menyebabkan gigi boleh bergerak semasa menggigit.
Sakit yang tajam semasa menggigit berdekatan gusi
Dengan adanya peningatan usia dan gigi yang lusuh,  gusi kita cenderung untuk menurun mendedahkan lapisan pelindung simentum  yang menutupi permukaan akar gigi.
 
Apa yang saya perlu lakukan sekiranya gigi saya sakit pada waktu malam?


Selalunya rasa sakit ini boleh berhenti atau berkurangan apabila dua tablet (1000mg)  Paracetamol (Panadol) diambil. Sila dapatkan rawatan gigi pada esok pagi.


2. Kecederaan gigi

Apakah yang perlu saya lakukan pada gigi yang terhantuk keluar (dari soketnya)?

•    Jika gigi kekal terhantuk keluar (dari soketnya) secara tidak sengaja, adalah penting untuk mengetahui langkah-langkah menyelamatkan gigi tersebut. Tindakan pantas boleh meningkatkan peluang untuk menyelamatkan gigi tersebut.
•    Cari gigi tersebut. Pastikan gigi tersebut dipegang di bahagian koronanya, bukan pada akar gigi.
•    Bilas gigi tersebut dengan air yang mengalir secara berhati-hati bagi membersihkan kotoran.
•    Masukkan gigi tersebut kembali ke dalam soket. Pastikan gigi tersebut diletakkan menghala ke arah yang betul. Pegang gigi pada tempatnya dengan berhati-hati dengan menggigit pada sapu tangan yang bersih.
•    Jika anda tidak boleh masukkan semula gigi tersebut pada soket, simpan gigi tersebut dalam susu segar atau cecair salina(saline) normal. Jangan biarkan gigi menjadi kering.
•    Minta bantuan daripada klinik gigi dengan segera

Alat Pelindung Gigi
Apakah alat pelindung gigi dan mengapa saya memerlukannya?

Kemalangan boleh berlaku semasa anda membuat sebarang aktiviti fizikal, khususnya jika anda terlibat dalam sukan lasak. Alat Pelindung gigi yang diperbuat dari getah atau polivinil boleh dipakai atau ditanggalkan bagi melindungi gigi atas, boleh melindungi tisu lembut mulut dan mengurangkan risiko kecederaan gigi dengan membantu dari segi mengurangkan impak kecederaan melibatkan muka.

Apakah jenis sukan yang sesuai menggunakan alat pelindung gigi?

Terdapat tiga jenis sukan yang berkemungkinan boleh mendatangkan kecederaan:
•    Sukan lasak di mana sentuhan adalah sebahagian daripada acara sukan tersebut. Ia melibatkan rugbi, seni silat dan tinju. Penggunaan alat pelindung gigi adalah wajib.
•    Sukan yang kerap melibatkan pelanggaran yang tidak dijangka atau dirancang. Ia melibatkan sukan bola keranjang, hoki, polo air, bola jaring, skuash, bola sepak, berbasikal, trampolin, kriket (penjaga gol atau memukul tanpa memakai helmet) dan ski air. Penggunaan alat pelindung gigi amatlah digalakkan.
•    Sukan yang tidak melibatkan sentuhan dimana sentuhan jang berlaku. Ia termasuk tenis di mana alat pelindung gigi tidak diperlukan.

Bagaimana saya boleh menjaga alat pelindung gigi?

Adalah menjadi amalan yang baik untuk-
•    Merendam dengan air sejuk sebelum ia digunakan
•    Membersihkan secara menyeluruh dengan air dan berus gigi selepas setiap penggunaan
•    Menyimpan alat pelindung mulut di dalam bekas yang kukuh bagi mengelakkannya rosak. Memastikan bekas simpanan ada lubang pengudaraan.

3. Kehamilan dan Kesihatan Pergigian

Adakah kesihatan mulut saya akan menjadi lebih teruk semasa hamil?

• Kesihatan diri dan mulut adalah sangat penting untuk ibu mengandung.
• Semasa mengandung, perubahan hormon yang berlaku menyebabkan tindak balas berlebihan terhadap plak gigi, mengakibatkan gusi lebih mudah bengkak, berdarah dan kemerahan.
• Keadaan ini dipanggil gingivitis semasa mengandung dan ia adalah suatu keadaan yang selalunya berlaku pada bulan kedua atau ketiga kehamilan dan kadang-kala menjadi lebih teruk sehingga bulan kelapan.
• Kajian kini menunjukkan hubungan antara penyakit gusi di kalangan ibu-ibu mengandung dan bayi yang lahir dengan berat badan yang rendah.

Apa yang boleh saya lakukan untuk mengekalkan kesihatan mulut yang baik semasa mengandung?

• Kesihatan mulut adalah penting dan menyumbang kepada kesihatan diri menyeluruh, maka adalah sangat penting untuk memberi perhatian yang khusus terhadap tanda-tanda penyakit gusi.
• Adalah penting untuk mengekalkan rutin penjagaan mulut setiap hari secara menyeluruh, termasuk memberus dan menggunakan flos.
• Lawatan ke klinik pergigian di peringkat awal kehamilan membolehkan pakar pergigian mengenalpasti masalah kesihatan mulut yang mungkin perlu dirawat.

Apakah jenis maklumat berkaitan semasa pemeriksaan gigi pertama saya semasa mengandung ?

Maklumat-maklumat ini adalah:
• Berapa bulankah anda telah hamil?
• Adakah sebarang tanda-tanda kehamilan anda berisiko tinggi?
• Adakah sebarang ubatan telah diambil?
• Adakah anda lihat sebarang perubahan pada kesihatan mulut?

4. Kesihatan Pergigian Kanak-kanak

Adakah gigi susu penting seperti gigi kekal?

Ya, kerana:
• Kanak-kanak perlu gigi yang sihat dan kuat untuk mengunyah makanan mereka dengan mudah, untuk bercakap dengan jelas, dan untuk penampilan yang baik kepada diri sendiri dan rakan-rakan mereka.
• Gigi susu  juga membantu mengekalkan ruang di dalam rahang untuk gigi kekal, dan apabila gigi kekal hilang awal, ia  boleh menimbulkan komplikasi ortodontik pada masa hadapan.
• kesihatan anak anda boleh terjejas jika gigi susu yang berpenyakit dan rosak tidak dirawat pada peringkat awal.

Adakah saya perlu untuk membersihkan mulut bayi saya walaupun masih belum ada gigi lagi?

Mula membersihkan mulut bayi anda beberapa hari pertama selepas lahir. Selepas menyusu, lap gusi bayi dengan tuala kecil yang bersih dan  lembap untuk menanggalkan plak.

Adakah bayi boleh mendapat gigi berlubang?

Kerosakan gigi boleh berlaku sebaik sahaja gigi tumbuh di dalam mulut.  Satu keadaan kerosakan gigi yang serius di kalangan kanak-kanak kecil adalah "karies botol susu" yang berlaku apabila bayi itu dibiarkan menyusu secara berterusan dari botol susu, formula, air gula, atau jus buah-buahan semasa tidur atau pada waktu malam.

Adakah tumbuh gigi menyakitkan?

Semasa gigi tumbuh, biasanya antara umur empat bulan dan 2 ½ tahun, bayi sering mengalami sakit dan pedih pada gigi . Kesakitan biasanya boleh diredakan dengan menggosok perlahan-lahan gusi bayi menggunakan jari yang bersih, sesuatu yang sejuk, sudu teh atau tuala yang basah. Gegelang bagi tujuan gigitan yang bersih untuk bayi mengunyah juga boleh membantu.

Bilakah sepatutnya saya membawa anak saya berjumpa doktor gigi?

Masa yang ideal, bagi lawatan pergigian pertama anak anda sepatutnya dilakukan sebelum ulang tahun pertama atau kedua. Selain untuk memeriksa kerosakan gigi dan masalah-masalah lain, doktor gigi akan mengajar anda teknik yang betul untuk membersihkan gigi anak anda serta menilai sekiranya ada tabiat negatif seperti menghisap ibu jari. Anda juga dapat membina tabiat penjagaan gigi yang baik sepanjang hayat.

Bilakah tabiat menghisap ibu jari perlu dihentikan?

Kanak-kanak sepatutnya berhenti menghisap ibu jari semasa gigi kekal sedang tumbuh. Biasanya, kanak-kanak berhenti ketika berumur di antara dua dan empat tahun. Menghisap ibu jari sehingga berumur enam boleh menyebabkan  keadaan gigi tidak teratur. Tekanan dari rakan sebaya menyebabkan ramai  kanak – kanak  yang telah  bersekolah memberhentikan tabiat tersebut.

Bagaimana saya boleh memastikan kebersihan mulut yang baik untuk anak saya?

Sebagai ibu bapa, anda perlu:
• Mewujudkan rutin pembersihan mulut yang baik di peringkat awal usia.
• Menyelia pemberusan gigi kanak-kanak sehingga berumur enam tahun.
• Gunakan ubat gigi bersaiz kacang hijau untuk mengelak anak anda menelan secara berlebihan.
•Bagi membantu anak anda memberus gigi, berdiri di belakang mereka dan condongkan kepala ke atas supaya semua permukaan gigi boleh diberus menggunakan kaedah gosokan yang lembut.

5. Kesihatan Pergigian Warga Emas

Adakah warga emas perlu menjalani pemeriksaan gigi secara berkala?

• pemeriksaan gigi secara berkala adalah perlu kerana ia adalah satu kaedah saringan yang amat berkesan untuk mengesan masalah mulut yang berkaitan dengan warga emas.
• Selain pemeriksaan rutin keadaan mulut seperti kerosakan gigi dan masalah gusi, keadaan lain yang lebih serius seperti lesi pra-malignan dan kanser mulut yang berlaku lebih kerap dengan peningkatan usia boleh dikenalpasti, dirawat awal dan dipantau.

Adakah penjagaan diri penting bagi warga emas?

• Kesihatan mulut yang baik merupakan sebahagian penting daripada kesihatan umum dan mulut yang sihat dan selesa ini adalah  penting bagi orang tua sama seperti penduduk lain dalam negara ini.
• Kesihatan mulut dengan fungsi yang sihat boleh memberi manfaat kepada warga emas dari segi:
• Bebas daripada kesakitan dan ketidakselesaan.
• Mampu untuk makan, bercakap dan bersosial tanpa rasa tidak selesa dan malu
• Menyumbang  ke arah kesejahteraan pesakit.
• Penjagaan mulut adalah perlu bagi penjagaan harian peribadi  dan doktor gigi atau penyedia penjagaan kesihatan utama/primer adalah berperanan untuk menggalakkan warga emas menjaga  mulut mereka dengan baik agar dapat mengekalkan kesihatan mulut.
• Ia adalah peranan warga emas untuk mendorong, membantu atau menyediakan penjagaan gigi terutamanya bagi pesakit yang bergantung kepada orang lain kerana penyakit atau hilang upaya.

Bagaimana saya menjaga gigi palsu saya?

• Jika anda menggunakan gigi palsu, keluarkan gigi palsu tersebut sebelum memberus dan bersihkan gigi palsu secara berasingan.
• Ia adalah sangat penting untuk mengamalkan kebersihan gigi yang baik untuk memastikan kesihatan gigi yang masih ada dan gusi dapat dikekalkan.
•Setiap kali selepas makan tanggalkan gigi palsu dari mulut untuk dibilas dan dibersihkan sisa makanan.
• Bersihkan gigi palsu anda dengan teliti menggunakan berus gigi dan sabun setiap hari.
• Rendam gigi palsu dalam bekas air / pembersih gigi palsu apabila tidak digunakan.
• Yang paling penting, JANGAN tidur sambil memakai gigi palsu anda di dalam mulut.

6. Kesihatan Mulut Bagi Orang Dengan Keperluan Khas

Adakah anak istimewa saya lebih terdedah kepada kepada masalah gigi?

Ya, kanak-kanak istimewa selalunya dikaitkan dengan –
•    Tahap plak gigi dan tahap kebersihan mulut yang kurang memuaskan
•    Kadar penyakit gusi dan kehilangan gigi yang lebih tinggi
•    Mempunyai lebih gigi berlubang yang tidak dirawat

Apakah masalah unik yang timbul yang menghalang kumpulan ini daripada mempertingkatkan kesihatan mulut?

•    Dalam sesebuah keluarga yang terlibat dengan masalah kurang upaya, kesihatan mulut mungkin kurang diberikan keutamaan.
•    Rawatan gigi mungkin terhad disebakan oleh sikap diri dan kesukaran untuk pergi ke klinik gigi.
•    Rawatan mungkin menjadi lebih sukar dijalankan kerana  rasa takut dan resah, kurang kefahaman, tidak mampu untuk member kerjasama atau tingkah laku kanak-kanak istimewa tersebut yang sukar ditangani.
•    Pergerakan secara tidak terkawal menghadkan rawatan gigi yang boleh diberikan.
•    Kesukaran komunikasi merumitkan situasi.
Sebagai seorang penjaga, bagaimana caranya saya boleh meningkatkan tahap kesihatan mulut kanak-kanak dengan keperluan khas?
Sebagai seorang penjaga, anda hendaklah-
•    Mengamalkan kaedah pencegahan yang mudah seperti memberus gigi termasuk menggunakan berus gigi yang telah diubahusuai, teknik yang efektif,  posisi yang sesuai dsb.
•    Menjalankan pemeriksaan gigi yang mudah menggunakan lampu suluh untuk mengesan sebarang masalah mulut.
•    Mengamalkan kawalan pemakanan yang tertentu khususnya dari segi pengambilan gula kanak-kanak tersebut.

Di mana saya boleh mendapatkan maklumat dan latihan untuk mempertingkatkan kesihatan mulut anak saya?

Sila bertanya lanjut pada doktor gigi anda atau anggota pergigian di mana-mana klinik pergigian kerajaan.

7.    Kesihatan Pergigian bagi Pesakit dengan Keperluan Khas

Pemberusan gigi

Mengapa memberus gigi itu penting?

•    Plak gigi hanya dapat dikeluarkan dengan memberus dan memflos gigi.
•    Sekiranya plak gigi tidak dikeluarkan secara berkala, ia akan berkumpul dan membentuk karang gigi.
•    Memberus gigi dengan menggunakan ubat gigi yang berfluorida juga dapat menguatkan gigi dan mengurangkan kerosakan gigi.  

Berapa kerap saya perlu memberus gigi?


•    Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, sebaik-baiknya pagi dan sebelum tidur malam atau selepas makan yang terakhir.

•    Bersihkan celah-celah gigi sekali sehari dengan menggunakan flos atau alat pencungkil celah gigi yang disyorkan oleh doktor gigi (pencungkil kayu, berus celah gigi dsb).

Apakah cara memberus gigi yang paling berkesan?


•    Tiada satu  cara pun yang jelas lebih baik dari yang lain. Apa yang penting adalah memastikan setiap permukaan gigi diberus berulang-kali.

•    Pastikan teknik pemberusan tersebut bersesuai dengan anda dan dapat membersihkan gigi anda secara menyeluruh dan selesa.
•    Jangan lupa memberus lidah anda untuk mengeluarkan bakteria dan menyegarkan nafas mulut.

Bagaimana memilih berus gigi yang betul?

•    Pilih berus gigi yang saiznya bersesuaian dengan mulut anda. Berus gigi yang kepalanya kecil adalah lebih baik kerana ia dapat capai ke kawasan yang sukar dibersihkan berhampiran belakang mulut dan antara lidah dengan gigi molar bawah.
•    Berus gigi perlu mempunyai pegangan yang teguh dan selesa.
•    Bulu berus  perlulah berbentuk bulat di hujungnya dan bertekstur lembut hingga sederhana.
Berapa kerap saya perlu menukar berus gigi?
Selepas tiga bulan digunakan, berus gigi akan mula menjadi haus dan tidak dapat memberus secara efisen lagi. Umumnya, berus gigi perlu ditukar baru apabila bulu berusnya mengembang atau terkepak keluar.

Memflos Gigi

Bagaimanakah saya memflos gigi saya?

•    Putuskan flos dan lilitkan sebahagian besar flos pada jari tengah kiri dan kanan. Pegang erat flos antara jari ibu dan jari telunjuk dengan meninggalkan benang floss antara 2 jari tersebut.
•    Gerakkan Flos secara perlahan-lahan antara dua gigi. Jangan sentap /tarik flos pada gusi.
•    Sebaik saja flos sampai ke garis gusi, lengkungkan flos itu pada gigi sebelah untuk menjadi bentuk C.  Perlahan-lahan luncurkan floss di ruang antara gusi dengan gigi. Pegang flos rapat-rapat pada gigi. Gesek tepi gigi semasa menggerakkan flos keluar dari gusi dengan gerakan ke depan dan ke belakang.
•    Ulangi untuk semua gigi.

Makanan dan Makan Secara Sihat


Apakah jenis makanan yang terbaik untuk kesihatan gigi dan gusi?

Pastikan pengambilan makanan yang seimbang dan pelbagai jenis setiap hari mengikut panduan Piramid Makanan. Ini termasuk:

•    Makan pelbagai jenis makanan dari setiap aras Panduan Piramid Makanan.
•    Hadkan pengambilan makanan yang banyak  lemak .
•    Hadkan jumlah pengambilan  gula kurang kepada 10 hingga 12 sudu teh setiap orang sehari.
•    Elakkan minuman berbuih (fizzy drink) atau berkarbonat.
Pilihlah kebanyakan makanan dari sumber tanaman:
•    Makan lima atau lebih sajian sayur-sayuran setiap hari
•    Makan makanan lain dari sumber tanaman seperti roti, bijirin, produk  bijirin, nasi, pasta atau kekacang beberapa kali sehari.

Apa itu sealan fisur?


•    Sealan fisur adalah bahan plastik khas yang digunakan oleh doktor gigi untuk melindung celah-celah dan fisur pada permukaan kunyahan gigi belakang daripada dimasuki bakteria dan makanan di dalam mulut.
Biasanya rawatan dijalankan pada kanak-kanak melibatkan gigi geraham
•    kekal yang berisiko tinggi mendapat kerosakan gigi. Sealan fisur  bersama-sama pemberusan gigi yang betul  serta mengawal makanan yang diambil membantu mencegah kerosakan gigi yang bermula dari dalam fisur gigi.
•    Penyapuan sealan fisur adalah mudah dan tidak menyakitkan. Gigi tidak perlu dipotong. Gigi dibersihkan, dirawat, dikeringkan dan disapu dengan sealan. Apabila sealan mengeras, ia akan membentuk satu lapisan pelindung pada permukaan gigi.

Fluorida
Apa itu penyapuan fluorida topikal?

Bahan yang mengandungi fluorida dalam bentuk cecair atau gel disapu secara sistematik pada permukaan gigi untuk menguatkan gigi yang berisiko tinggi kepada kerosakan gigi.
Ia mungkin boleh dilakukan semasa temujanji rawatan gigi pencegahan.

Bagaimanakah fluorida mencegah kerosakan gigi?

-Fluorida mengurangkan enamel gigi daripada larut oleh asid.
- Ia mengurangkan penghasilan asid oleh bakteria dari plak gigi.
- Fluorida juga menggalakkan pembaikan enamel gigi di permukaan yang telah dilarutkan oleh asid.

Apakah sumber-sumber lain fluorida untuk kita?

Pemfluoridaan Air

Pemfluoridaan air melibatkan penyelarasan paras fluorida semulajadi dalam bekalan air komuniti ke paras yang optima untuk kesihatan pergigian.
Semenjak tahun 1972, Kerajaan Malaysia telah meluluskan pemfluoridaan bekalan air awam sebagai satu program utama pencegahan karies gigi.
Sekitar 75.5% populasi Malaysia telah mendapat manafaat melalui kaedah kesihatan awam ini.
Pemfluoridaan bekalan air komuniti adalah kaedah yang paling selamat dan kos efektif mengurangkan kerosakan gigi.
Penyertaaan aktif dari individu atau komuniti tidak diperlukan – hanya menggunakan air paip untuk diminum dan dimasak.
Fluorida disampaikan kepada setiap orang di dalam komuniti yang menggunakan bekalan air awam, termasuk individu yang amat memerlukannya. Ia memberi manafaat kepada kanak-kanak dan orang dewasa.
Ia membekalkan fluorida dalam mulut pada kepekatan yang rendah dan secara berterusan. Ini adalah penting untuk mencegah dan mengawal karies gigi.

 Apakah rawatan yang diberikan semasa pemeriksaan ini?

•    Pemeriksaan gigi rutin

•    Penyapuan sealan fisur sekiranya perlu
•    Panyapuan fluorida topical sekiranya perlu
•    Arahan penjagaan kebersihan mulut dan khidmat nasihat

8. Apakah caj rawatan di klinik pergigian kerajaan?

Kos bergantung kepada jenis rawatan. Kos rawatan pergigian secara ringkasnya adalah seperti di bawah:
•    Perundingan RM1.00
•    Setiap tampalan gigi RM1.00
•    Setiap cabutan gigi RM1.00
•    Penskaleran RM2.00 setiap lawatan
•    Rawatan kanal akar RM4.00
•    Gigi palsu penuh RM50.00 setiap rahang
•    Gigi palsu sebahagian RM10.00 untuk plat dan gigi pertama dan tambahan RM2.00 untuk setiap gigi tambahan dengan maksimum RM25.00
Caj perkhidmatan yang ditawarkan oleh pakar pergigian adalah seperti di bawah:
Pembedahan kecil minor: RM50.00
Orotodontik: aplians pakai tanggal RM100.00, aplians tetap RM500.00

Bolehkah warga asing mendapatkan rawatan pergigian di klinik pergigian?

Hanya kes-kes melibatkan rawatan kecemasan dan kadar caj adalah 2 kali ganda daripada biasa.

Copyright© 2012 - 2017, Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia.
Privacy Policy | Security Policy | Sitemap | Help
DISCLAIMER: Oral Health Division shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this portal.
Best viewed using Internet Explorer 7 or Mozilla Firefox with 1024x768 screen resolution