Cetak

FAQ Karier

1. Kenaikan Pangkat Pegawai Pergigian

Bagaimana proses kenaikan pangkat dilaksanakan di KKM?

Urusan kenaikan pangkat dikendalikan oleh Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mulai tahun 2010, Y.A.B Perdana Menteri telah mengumumkan penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia yang mempercepatkan tempoh kenaikan pangkat.

Tempoh kenaikan pangkat bagi Pegawai Pergigian Gred U41 ke Gred U54 adalah 12 tahun manakala tempoh kenaikan pangkat bagi Pegawai Pergigian Pakar Gred U41 ke Gred U54 adalah 9 tahun.

  • Bagi Pegawai Pergigian, perlu berada di sesuatu gred selama tempoh tertentu atau tertakluk kepada kekosongan jawatan mana yang lebih awal;

Bagi Pegawai Pergigian Pakar, perlu berada di sesuatu gred selama tempoh tertentu atau tertakluk kepada kekosongan jawatan mana yang lebih awal.

Keputusan kenaikan pangkat adalah tertakluk kepada perakuan Lembaga Kenaikan Pangkat, KKM;

  • Bagi Pegawai Pergigian, kenaikan pangkat dari Gred 54 ke Gred Utama C dan ke atas adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan;
  • Bagi Pegawai Pergigian Pakar, kenaikan pangkat daripada Gred 54 ke Gred Khas C dan ke atas adalah berdasarkan kepada perakuan Panel Penilaian Kepakaran, KKM.

Untuk maklumat lanjut mengenai kenaikan pangkat, sila layari: http://humanres.moh.gov.my

 

2. Kepakaran Pergigian yang ditawarkan dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia

Berapa banyak disiplin pergigian dianggap sebagai kepakaran pergigian di Malaysia?

Bagi KKM, bidang-bidang kepakaran pergigian adalah :

  1. Bedak Mulut
  2. Ortodontik
  3. Periodontik
  4. Pergigian Pediatrik
  5. Patologi dan Perubatan Mulut
  6. Pergigian Restoratif
  7. Kesihatan Awam Pergigian
  8. Pergigian Forensik
  9. Pergigian Keperluan Khas

Justeru itu, bidang-bidang kepakaran pergigian juga terdapat di Universiti dan Perkhidmatan Pergigian Kementerian Pertahanan. Selain dari itu, pendaftaran pakar pergigian juga di Malaysia pada masa ini juga dibuat di bawah National Specialist Register.  

Adakah terdapat biasiswa untuk pengajian lepasan ijazah/pascasiswazah/sarjana dan apakah kelayakan untuk memohon?

Kementerian Kesihatan menawarkan bilangan biasiswa yang terhad kepada pegawai pergigian setiap tahun. Iklan ini dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Latihan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan akan diedarkan ke seluruh negara.Syarat-syarat permohonan yang perlu dipatuhi pegawai adalah seperti berikut:

  • Perlu menamatkan perkhidmatan wajib
  • Disahkan dalam perkhidmatan pada masa permohonan.
  • Mempunyai markah yang baik dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (purata minimum 85 markah) bagi tempoh 3 tahun berturut-turut (4 tahun perkhidmatan)
  • Berumur tidak melebihi 43 tahun bagi PhD, 45 tahun bagi Sarjana dan tidak melebihi 46 tahun bagi program latihan Areas of Special Interest

Selain daripada syarat-syarat tersebut, pegawai perlu mematuhi syarat-syarat berikut:

  • Mesti melalui proses temuduga untuk HLP
  • Memastikan mendapat tempat belajar dan mengikuti program sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan
  • Keutamaan akan diberi kepada calon yang mempunyai kelayakan tambahan seperti MFDS, MJDF, BMS, FRACDS, MOrth
  • Bagi pemohon untuk sarjana kepakaran pergigian klinikal, perlu menjalani latihan attachment bersama Pakar yang berkenaan
  • Perlu menyediakan kertas kerja bagi calon Areas of Special Interest
  • Perlu menyediakan kertas cadangan bagi calon sarjana dan pHD
  • Bagi calon yang berminat ke luar negara, mereka mesti lulus IELTS, Band 6.5 ke atas*

*Bergantung kepada institusi yang dipohon

Perincian mungkin berubah setiap tahun jadi pastikan anda membaca iklan itu dengan teliti sebelum anda memohon.

Adakah semua pemohon akan dipanggil untuk temuduga?

Semua permohonan akan disenarai pendek dan hanya pemohon yang memenuhi syarat-syarat seperti yang diiklankan dipanggil untuk temuduga.

Permohonan HLP juga mengambil kira unjuran keperluan bilangan Pakar Pergigian di KKM berdasarkan kaedah service target.

Adakah semua orang yang menjalani latihan klinikal lepasan ijazah/pascasiswazah/sarjana akan diberi gelaran 'pakar' secara automatik sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian mereka?

Tidak, mereka perlu menjalani tempoh pewartaan di bawah pakar penyelia dan diwartakan sebelum mereka boleh dianggap sebagai pakar.

Tempoh pra pewartaan adalah seperti berikut:

  • Enam (6) bulan bagi pegawai yang megikuti pengajian untuk tempoh 4 tahun
  • Lapan belas (18) bulan bagi pegawai yang mengikuti pengajian kurang dari 4 tahun

Penyelia professional diberi autonomi untuk mencadangkan pengurangan tempoh pra pewartaan sekiranya pegawai tersebut telah layak untuk diwartakan sebagai Pakar Pergigian. Walau bagaimanapun perincian mungkin berubah setiap tahun berdasarkan Dasar yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Apakah faedah lain yang diterima pakar-pakar klinikal selain dari elaun pakar?

Pakar pergigian klinikal yang telah diwartakan mempunyai peluang yang lebih baik mendapat kenaikan pangkat secara tempoh perkhidmatan (time based promotion) ke gred yang lebih tinggi berbanding dengan lain-lain pegawai pergigian. 

 

3. Pertukaran Penempatan

Berapa lama seseorang pegawai boleh memohon untuk pertukaran?

Pegawai Pergigian Tahun Pertama (FYDOs) dikehendaki untuk menamatkan latihan FYDO dan penempatan di negeri pada tahun kedua mereka sebelum mereka boleh ditukarkan ke negeri lain.  

Bagaimanakah seseorang boleh memohon untuk pertukaran?

Terdapat dua prosedur.
Bagi pertukaran dalaman: Sila rujuk Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah anda untuk maklumat lanjut.


Bagi pertukaran ke luar negeri:


i-Isikan borang pertukaran. Anda boleh mendapatkan borang ini dari Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah anda.
ii-Serahkan kepada Pegawai Pergigian Daerah anda (SDO) bersama-sama dengan dokumen-dokumen sokongan. cth: sijil perkahwinan, rekod perubatan (jika ada)
iii-SDO anda akan mengemukakan permohonan anda kepada Timbalan Pengarah Kesihatan(Pergigian) Negeri anda.
iv- Semua permohonan pertukaran disalurkan kepada:

Ketua Setiausaha,
Bahagian Sumber Manusia,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Unit Pengurusan & Profesional,
Aras 9 & 10, Blok E7, Kompleks E, Presint 1,
62590 Putrajaya.

dan satu salinan kepada:

Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian
Bahagian Kesihatan Pergigian
Aras 5, Blok E10, Kompleks E, Presint 1
62590 Putrajaya

Berapa lama diambil untuk sesuatu permohonan pertukaran diluluskan?

Semua permohonan untuk pertukaran dari satu negeri ke negeri yang lain akan dibawa ke mesyuarat yang dijalankan secara berkala setiap selang 3 bulan. Jika permohonan itu diluluskan, surat akan dikeluarkan kepada anda oleh Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan Malaysia. Tarikh kuat kuasa pertukaran akan dinyatakan pada surat pertukaran anda.

Tempoh sahlaku permohonan pertukaran adalah 3 tahun. Anda perlu memohon semula selepas tamat tempoh sahlaku. 

Bolehkah pembatalan permohonan pertukaran dilakukan?

Anda boleh mengemukakan surat pembatalan kepada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui saluran tertentu seperti permohonan pertukaran.
 

Siapakah yang perlu saya hubungi sekiranya saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkara ini?

Sila hubungi Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maklumat lanjut atau layari http://humanres.moh.gov.my

Copyright© 2012 - 2017, Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia.
Privacy Policy | Security Policy | Sitemap | Help
DISCLAIMER: Oral Health Division shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this portal.
Best viewed using Internet Explorer 7 or Mozilla Firefox with 1024x768 screen resolution