Cetak

Pakar Pergigian

Selepas memperolehi ijazah asas dalam bidang pergigian, seseorang pegawai boleh memilih untuk membuat pengkhususan di dalam mana-mana bidang-bidang berikut:
 
Bedah Mulut
Ortodontik
Pergigian Pediatrik
Periodontik
Perubatan Mulut dan Patologi Mulut
Pergigian Kesihatan awam
Pergigian Restoratif

Bedah Mulut

Bedah Mulut adalah merupakan satu bidang kepakaran pergigian yang berkaitan dengan rawatan kecederaan muka, pembentukan semula bahagian sekitar mulut dan maksilofasial , pembedahan implan pergigian, penjagaan pesakit yang menghidapi tumor dan juga sista rahang serta memulihkan keadaan seperti fungsi dan estetik bahagian maksilofasial. Pakar Bedah Mulut adalah ditempatkan di hospital dan mereka bekerjasama dengan pakar-pakar bidang lain di hospital dalam menguruskan pesakit.

Ortodontik

Ortodontik adalah bidang yang berkaitan dengan pencegahan dan pembetulan pada ketidakaturan susunan gigi, gigitan dan rahang. Pakar Ortodontik telah dilatih secara khusus dalam menguruskan keadaan tersebut.

Pergigian Pediatrik

Pergigian Pediatrik adalah merupakan bidang kepakaran berkaitan dengan penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak bermula dari peringkat bayi sehingga peringkat remaja. Ini termasuklah kanak-kanak mempunyai masalah perubatan dan juga mereka yang mempunyai keperluan khas. Bidang ini juga berurusan dengan kes-kes berkaitan dengan gangguan pertumbuhan, penyakit pergigian serta kecederaan trauma akibat dari kemalangan.

Pesakit yang mempunyai masalah perubatan adalah termasuk kanak-kanak yang mengalami kanser, masalah jantung, keabnormalan darah dan lain-lain penyakit kronik seperti kencing manis, asma dan penyakit hati, dan juga mereka yang menjalani pemindahan organ. Manakala, kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas adalah tergolong dari mereka yang kurang berupaya dari segi fizikal, masalah pembelajaran yang teruk dan juga masalah tingkah laku yang memerlukan teknik pengurusan khas untuk rawatan pergigian.

Periodontologi

Periodontologi adalah merupakan bidang pergigian khusus dalam pencegahan, diagnosa dan rawatan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan struktur yang menyokong gigi iaitu gusi dan tulang disekitarnya. Rawatan penyakit gusi termasuklah penskaleran, pengetaman akar, pelarasan gigitan dan pembedahan periodontal

Perubatan Mulut dan Patologi Mulut

Perubatan Mulut dan Patologi Mulut adalah kepakaran pergigian yang berkaitan dalam pengenalpastian dan pengurusan penyakit-penyakit yang menjejaskan mulut dan bahagian maksilofasial. Ia adalah berkenaan dengan sains yang menyiasat punca kejadian penyakit, proses-prosesnya dan kesan penyakit-penyakit tersebut dan seterusnya rawatan berkaitan. Pakar Perubatan Mulut dan Patologi Mulut akan melakukan biopsi untuk mendiagnosa penyakit samada di mulut, muka, kelenjar air liur dan rahang serta menguruskan lesi mukosa mulut, kanser mulut dan sakit di bahagian muka. Pakar ini biasanya ditempatkan di makmal penyelidikan. Unit Stomatology di Institut Penyelidikan Perubatan adalah merupakan salah satu dari makmal tersebut yang bertanggungjawab untuk mengdiagnosa dan menjalankan penyelidikan penyakit-penyakit mulut dan maksilofasial.

Kesihatan Awam Pergigian

Pakar Kesihatan Awam Pergigian adalah bertanggungjawab dalam menyediakan penjagaan kesihatan pergigian kepada masyarakat sama ada melalui strategi-strategi berasaskan penduduk dan program-program kemasyarakatan. Pakar Kesihatan Awam Pergigian juga bertanggungjawab dalam pembangunan dasar kesihatan pergigian, pengurusan program, promosi kesihatan pergigian dan pencegahan penyakit pergigian serta aspek-aspek keselamatan dan kesihatan bagi persekitaran klinikal.

Pergigian Restoratif

Pergigian Restoratif termasuklah pemulihan fungsi untuk memastikan gigi dlam keadaan sihat dan bebas dari kesakitan bagi pesakit mempunyai masalah kompleks. Pesakit di bawah jagaan Pakar Pergigian Restoratif adalah tergolong dari mereka yang telah dirujuk oleh pegawai pergigian atau pakar-pakar lain, yang memerlukan rawatan khas atau mempunyai keperluan klinikal yang kompleks dan juga mereka yang mempunyai keperluan tertentu, dengan kecacatan kongenital atau kecacatan muka acquired’, masalah perubatan atau masalah pembelajaran yang boleh menyebabkan implikasi semasa rawatan diberikan kepada mereka.
Skop perkhidmatan kepakaran ini
merangkumi prosedur konservatif advanced, endodontik, prostodontik tetap dan boleh tanggal serta implan. Penggunaan pelbagai jenis bahan pergigian bagi keperluan tertentu pesakit adalah diseimbangkan dengan kemahiran teknikal yang terlibat.

 

Copyright© 2012 - 2017, Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia.
Privacy Policy | Security Policy | Sitemap | Help
DISCLAIMER: Oral Health Division shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this portal.
Best viewed using Internet Explorer 7 or Mozilla Firefox with 1024x768 screen resolution