Cetak

Sejarah Pergigian

ERA PERMULAAN

Rekod terawal pergigian di Tanah Melayu bermula sejak 1869 di Singapura, yang ketika itu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Doktor pergigian yang pertama adalah doktor pergigian dari Hong Kong bernama Cheong Chun Tin, yang membuka Klinik Pergigian swasta selepas memperolehi kelayakan dari San Francisco. Beliau tidak pernah terfikir untuk menghantar anak-anaknya menjalani latihan secara formal di dalam bidang pergigian. Selepas pemergian beliau, dua orang anak lelakinya yang tidak mempunyai kelulusan formal telah meneruskan amalan bapa mereka. Dari sinilah bermulanya era di mana doktor pergigian yang tidak berkelayakan berkembang maju.

Selepas itu, James Logan telah dicatatkan membuka Klinik Pergigian di Pulau Pinang pada tahun 1899. Pada tahun 1912, Encik Frank Moffat dicatatkan sebagai doktor pergigian pertama di Kuala Lumpur yang menggelarkan dirinya sebagai 'doktor pergigian pembedahan dan mekanikal'. Dalam tempoh Perang Dunia Pertama (1914-1918), seorang doktor pergigian berbangsa Jepun dilaporkan tiba pada tahun 1916. Seterusnya penghijrahan doktor-doktor pergigian ke Tanah Melayu pun bermula.

MENGAWAL SELIA PROFESION

Senario di atas telah membawa kepada keperluan untuk mengawal selia profesion ini. Pada separuh akhir tahun 1920-an menyaksikan tumpuan yang lebih dalam mengawal selia amalan pergigian. “Registration of Dentists’ Ordinance of the Straits Settlement” yang pertama telah digubal pada tahun 1924, manakala Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai “Registration of Dentists Enactment” yang berasingan pada tahun 1931. Walaubagaimanapun, Ordinan 1924 ini mempunyai kekurangan dalam banyak aspek yang membawa kepada pemansuhannya pada tahun 1933, justeru undang-undang kedua yang dikenali sebagai “Ordinance for Registration of Dentists 1933” telah diluluskan di mana undang-undang ini melarang amalan pergigian oleh doktor pergigian yang tidak berkelayakan dan merupakan bukti kepada pengakhiran untuk doktor-doktor pergigian di jalanan.

Berikutan berakhirnya Perang Dunia Kedua (1941-1945) di Tanah Melayu, undang-undang telah diperkukuhkan lagi dengan penggubalan “Registration of Dentists’ Ordinance” pada tahun 1948. Undang-undang ini hanya membenarkan individu yang berkelayakan dimasukkan ke dalam Daftar Pergigian. Doktor pergigian yang berkelayakan dalam sektor awam dan swasta didaftarkan di bawah kategori Doktor gigi Divisi I. Walau bagaimanapun, terdapat satu klausa yang membenarkan kemasukan doktor pergigian tidak berkelayakan yang telah mengamal di bawah seksyen yang berasingan sebagai Doktor Gigi Berdaftar Divisi II. Syarat ditetapkan bahawa mereka perlu berjaya menjalani peperiksaan yang dijalankan oleh Lembaga Pergigian yang ditubuhkan pada tahun yang sama.

Pada masa itu, hanya terdapat 50 doktor pergigian berkelayakan dalam Daftar Pergigian dan 166 doktor pergigian yang tidak berkelayakan. Sehingga 31 Julai 2008, terdapat 3165 doktor pergigian berkelayakan di perkhidmatan awam dan swasta dan 45 doktor gigi Divisi II yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

Penggubalan Akta Pergigian 1971 oleh parlimen akhirnya memberi pengiktirafan kepada profesion pergigian dan menandakan pewujudan era pergigian di Malaysia. Majlis Pergigian Malaysia (MPM) telah ditubuhkan di bawah Akta ini sebagai badan eksekutif untuk mengawal selia profesion. Akta ini menghuraikan ciri-ciri yang berkaitan dengan pendaftaran dan pengeluaran sijil pengamalan, pengekalan piawaian profesional, penguatkuasaan terhadap pergigian haram dan memberi kuasa kepada profesion untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya sendiri. Pendaftaran doktor gigi Divisi II kemudiannya ditutup pada tahun 1972.

Akta Pergigian 1971 telah mengalami beberapa pindaan. Pertama, adalah untuk menambahkan keanggotaan Majlis Pergigian Malaysia pada tahun 1997 dari 20 kepada 24 ahli, dan mengukuhkan penalti bagi kesalahan di bawah Akta. Pindaan lain adalah menangani kekurangan doktor pergigian yang bekerja di sektor awam yang membawa kepada khidmat wajib tiga tahun bagi pendaftar baru berkuatkuasa 29 Jun 2001.

MEMBAWA PENJAGAAN KESIHATAN MULUT KEPADA MASYARAKAT

Pada separuh akhir tahun 1920-an juga pentadbir British mula serius merancang secara teratur organisasi pergigian. Pada tahun 1929, sebuah bangunan di kawasan Pudu Kuala Lumpur, yang sebelum ini menempatkan golongan miskin, telah ditukar kepada klinik pergigian kerajaan yang pertama. Ia telah dirobohkan 43 tahun kemudian iaitu pada tahun 1972, dan digantikan dengan bangunan Cahaya Suria yang dimiliki oleh Lembaga Pembangunan Bandar (UDA). Dua tingkat dari bangunan 16 tingkat tersebut telah diperuntukkan bagi penempatan ibu pejabat Jabatan Pergigian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun 1946, Bahagian Pergigian telah ditubuhkan di Jabatan Perubatan dan seorang profesional telah dilantik untuk mengetuai perkhidmatan pergigian di Tanah Melayu. Encik Charles F. Mummery, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pergigian Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju perkhidmatan pergigian awam.

Perkhidmatan kesihatan awam pergigian bermula dengan doktor-doktor pergigian British (Pegawai Pergigian Kerajaan secara rasminya) yang bekerja di hospital besar dan dibantu oleh doktor-doktor pergigian tempatan yang berkelayakan. Doktor-doktor pergigian ini melawat daerah atau bandar untuk menjalankan rawatan pergigian kecemasan bagi tempoh satu atau dua hari seminggu. Pusat jagaan pergigian sambilan ini kemudiannya menjadi klinik pergigian kerajaan sepenuh masa yang dikendalikan oleh doktor gigi yang berkelayakan.

Pada tahun 1947, terdapat 20 pegawai pergigian dalam sektor awam. Sebahagian besar perkhidmatan terus disediakan oleh sektor swasta yang terdiri daripada 50 doktor pergigian swasta dan kira-kira 400 doktor gigi berdaftar Divisi II.

Perancangan pembangunan dan pengenalan Rancangan Lima Tahun bermula pada masa pembinaan semula selepas perang koloni Tanah Melayu. Tidak ada perancangan yang khusus bagi penjagaan kesihatan pada masa itu, sebaliknya penjagaan kesihatan adalah merupakan sebahagian daripada senarai projek-projek jabatan kerajaan yang menggunakan sumber kewangan yang sedia ada. Berikutan Perang Dunia Kedua, Darurat telah mengakibatkan sebahagian besar daripada sumber kerajaan serta tenaga telah digunakan. Oleh itu tidak banyak yang dilakukan dalam perancangan penjagaan kesihatan sehingga penubuhan Rancangan Tanah Melayu Pertama (1956-1960) dan Rancangan Tanah Melayu Kedua (1961-1965). Rancangan Lima Tahun Tanah Melayu telah menggalakkan perkembangan penjagaan kesihatan dan memangkin perkembangan perkhidmatan awam pergigian.

Selepas itu, Rancangan Tanah Melayu telah menjadi Rancangan Malaysia Kelima. Rancangan ini memperlihatkan kekuatan transformasi sektor perkhidmatan kesihatan pergigian awam kepada perkhidmatan yang menyeluruh dan disentralisasi pada masa kini. Pada tahun 1970, terdapat hanya 398 klinik pergigian pelbagai jenis. Di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, terdapat sejumlah 2,188 kemudahan pergigian pelbagai jenis sehingga akhir tahun 2007.

KEPRIHATINAN NEGARA TERHADAP KESIHATAN PERGIGIAN

Antara tahun 1952 hingga 1963, profesion pergigian mula menyatakan kebimbangan terhadap kesihatan pergigian negara. Walaupun tempoh tersebut menyaksikan lebih ramai doktor pergigian menyertai sektor swasta, beberapa negeri yang sebelum ini berada di bawah kawalan pusat, telah diberi mandat untuk membangunkan program-program kesihatan pergigian mereka sendiri di bawah arahan Ketua Pegawai Pergigian. Pada peringkat ini, klinik pergigian bergerak telah ditubuhkan. Perkhidmatan kesihatan pergigian telah diperluaskan kepada penduduk luar bandar dengan memberi penekanan kepada kanak-kanak sekolah dan ibu mengandung dan pendidikan kesihatan pergigian telah diintegrasikan ke dalam penjagaan pergigian. Klinik pergigian telah ditubuhkan untuk orang awam dan untuk kumpulan tertentu seperti anggota polis, angkatan tentera, banduan, pesakit kusta dan pesakit TB.

Penjagaan Kesihatan Mulut Murid Sekolah

Dengan bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 merangkumi 50% populasi dan mempunyai status kesihatan mulut yang membimbangkan,pertimbangan serius telah dibuat untuk memberi perkhidmatan pergigian khas bagi murid-murid sekolah.

Pada tahun 1948, perkhidmatan pergigian khas untuk murid-murid sekolah telah dilancarkan. Pada tahun yang sama skim jururawat pergigian diperkenalkan dimana kategori anggota ini dibenarkan memberi rawatan dibawah penyeliaan. Pada mulanya skim jururawat pergigian menerima bantahan yang kuat dari profesion tetapi kemudiannya diterima setelah berjaya membuktikan pendekatan ini adalah inovatif dan membawa manafaat kepada Negara.

Sehingga tahun 1952, 19 buah klinik pergigian sekolah telah diwujudkan. Pada tahun berikutnya, perkhidmatan pergigian dimasukkan sebagai salah satu komponen dipusat kesihatan.Apabila Skim Perkhidmatan Kesihatan Pendalaman diperkenalkan pada tahun 1955, perkhidmatan pergigian diperluaskan kepada rakyat di kawasan pendalaman. Pada tahun merdeka iaitu 1957, 55 buah pusat pergigian sekolah dan 40 buah klinik pergigian sekolah yang dikendalikan oleh jururawat pergigian telah diwujudkan. Sehingga tahun 2009, bilangan ini telah melonjak 23 kali ganda kepada 937 buah klinik pergigian sekolah dan 16 buah pusat pergigian sekolah.Perkhidmatan pergigian sekolah sekarang merupakan perkhidmatan utama dalam sector awam. Melalui strategi pasukan bergerak yang telah dilaksanakan sejak awal 1970’an, liputan diperluaskan kepada hampir 92% murid sekolah rendah dan 60% murid sekolah menengah. Pasukan ini dikenali secara tidak rasmi sebagai “skuadterbang”, pasukan bergerak ini yang mengguna peralatan mudah alih telah memperluaskan perkhidmatan keserantau tempat. Bilangan pasukan bergerak telah bertambah 43 kali ganda dari 13 pasukan pada tahun 1970 kepada 560 pasukan (termasuk 20 klinik bergerak) padatahun 2009.

Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Mulut kepada Orang Awam

Perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut kepada orang awam disampaikan melalui klinik pergigian. Sebuah Klinik pergigian utama telah beroperasi secara rasmi di Kuala Terengganu pada tahun 1954 untuk member perkhidmatan kepada orang awam.Ini disusuli dengan pembinaan klinik pergigian utama di negeri lain.Satu peristiwa penting pada masa itu adalah perluasan bidang kepakaran dengan penghantaran pegawai pergigian keluar Negara dalam bidang bedah mulut, ortodontik dan pergigian kemasyarakatan. Perkhidmatan kepakaran dimulakan pada tahun 1952 dengan penubuhan pusat bedah mulut di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kronologi Pembangunan Perkhidmatan Kepakaran Pergigian Dalam Kementerian Kesihatan Malaysia

Tahun Disiplin Kepakaran
1950 Bedah Mulut
1954 Ortodontik
1967 Perubatan Mulut dan Patologi Mulut
1984 Periodontologi
1985 Paediatrik Pergigian
2005 Restoratif

1961 pegawai pergigian pertama dihantar untuk melanjutkan pelajaran

Dalam kursus Pergigian Kemasyarakatan

Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Pergigian untuk Kumpulan Populasi yang Spesifik

Kumpulan populasi yang spesifik juga berpeluang mengakses perkhidmatan pergigian yang didedikasikan khas kepada mereka Padatahun 1953, Jabatan Orang Asli ditubuhkan untuk member perkhidmatan kepada kumpulan pribumi yang menetap di kawasan pendalaman Malaysia.Sehingga kini, Bahagian Kesihatan dan Perubatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar membekal masih member perkhidmatan pergigian kepada orang asli.Pada tahun 1955, sebuah klinik pergigian dibuka di Pusat KustaSungai Buloh, Selangor untuk member perkhidmatan kepada penghuninya. Anggota polis juga mendapat penambahan dua buah klinik pergigian yang dibina di Kuala Lumpur dan Ipoh untuk. Pada tahun 1960an, perkhidmatan pergigian diperluaskan kepenjara Pudu di Kuala Lumpur.Pada tahun 1958, Perkhidmatan Pergigian Angkatan Tentera(AFDS) telah ditubuhkan untuk member perkhidmatan pergigian kepada anggota tentera dan keluarga mereka. Pada mulanya, pegawai pergigian dipinjam kandari Kementerian Kesihatan.  Fokus utama adalah untuk mencapai dan mengekalkan kesediaan untuk pertempuran dan kecergasan perjuangan tentera. AFDS hari ini juga melaksanakan program outreach sebagai tugas sivik dan telah dikerahkan keluar Negara secara aktif ketempat-tempat tentera Malaysia ditempatkan.

Konsep outreach ini tidak sahaja terhad kepada klinik bergerak di darat sahaja. Malahanpadatahun1958, klinik pergigian angkatan laut mula beroperasi dan member perkhidmatan pergigian di sepanjang Sungai Perak.

PENCEGAHAN UNTUK SEMUA: PEMFLUORIDAAN AIR

Rakyat Johor Bahru telah menerima air yang berfluorida seawall tahun 1957 diikuti dengan Pulau Pinang pada tahun 1959 dan Simanggang, Sarawak pada tahun 1961. Kerajaan Negeri Johor kemudiannya memperluaskan liputan keseluruh negeri pada tahun 1966. Pada masa itu, tahap karies adalah tinggi. Pada tahun 1963, kadar DMF untuk golongan anggota Perkhidmatan Negara yang berumur purata 21.4 tahun adalah 10.181. Dengan wujudnya jurang perbezaan yang besar antara keperluan rawatan dan penjagaan yang telah diberikan, satu Jawatankuasa Pemfluoridaan Bekalan Air Awam telah dilantik dan diberi mandate oleh Menteri Kesihatan pada tahun 1969 untuk membuat kajian atas kemungkinan memperkenalkan pemfluoridaan bekalan air sebagai satu langkah kesihatan awam di semua negeri di Barat Malaysia. Cadangan pemfluoridaan bekalan air adalah berlandaskan bukti saintifik yang yang rata-rata menyokong keberkesanan perlindungan karies, keselamatan, kecekapan dan keberkesanan kos pemfluoridaan air. Jawatankuasan cabinet telah menerima cadangan tersebut pada tahun 1972. Dianggarkan seramai 75.5% penduduk telah menerima manafaat dari pemfluoridaan bekalan air pada tahun 2009.

TENAGA KERJA PERGIGIAN

Pembangunan Kompetensi Dan Kecekapan Profesional Pergigian

Keperluan pengamal pergigian yang berkelayakan bagi menangani masalah pergigian pada ketika itu telah membawa kepada penubuhan pusat pengajian pergigian King Edward VII College of Medicine di Singapura pada tahun 1926. Reaksi awal terhadap kursus ini agak mengecewakan, kerana tiada permohonan kemasukan yang diterima. Sekitar tahun 1927 dan 1929, tujuh orang calon telah memulakan pengajian empat tahun, walau bagaimanapun mereka tidak menamatkan pengajian apabila berhenti semasa atau setelah tamat pengajian tahun pertama.

Semangat yang tidak luntur telah membawa kepada penubuhan semula pusat pengajian dengan pelantikan Profesor Bedah Mulut yang pertama dan Dekan Pusat Pengajian Pergigian, Professor Edgar K. Tratman. Kursus pengajian pergigian yang berdasarkan kepada sistem pengajian British telah diperkenalkan. Graduan pertama telah dianugerahkan Licentiate in Dental Surgery (LDS) pada tahun 1933, diikuti dengan graduan berikutnya pada tahun 1934.

Meskipun di bawah pemerintahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua (1941 – 1945), perkembangan pendidikan pergigian tidak terhenti. Pihak Jepun telah memberi mandat untuk meneruskan usaha mengembangkan latihan pelajar jurusan bidang perubatan dan pergigian. Namun paradoksnya, pemerintahan Jepun yang menyokong usaha melatih profesional pergigian tempatan, pada masa yang sama telah mengeluarkan lesen kepada mana-mana individu yang ingin mengamal pergigian. Ini secara tidak langsung telah menjurus kepada penambahan pengamal pergigian yang tidak berkelayakan. Setelah kedatangan pemerintahan British, di bawah British Military Administration di akhir Perang Dunia Kedua, pengamal pergigian yang tidak berkelayakan ini masih dibenarkan untuk berurus niaga.

Setelah negara kembali aman, King Edward VII College telah dibuka semula pada tahun 1946 dan calon yang telah dianugerahkan diploma semasa pemerintahan Jepun telah dikenakan syarat untuk menduduki semula peperiksaan profesional. Calon ini kemudiannya dianugerahkan kelulusan LDS setelah lulus peperiksaan berkenaan. General Medical Council of the United Kingdom telah mengiktiraf secara rasmi kelayakan LDS (Singapura) pada tahun 1946. Dengan penubuhan Universiti Malaya (Singapura) pada tahun 1949, King Edward VII College telah ditukar nama kepada Fakulti Perubatan dan pengajian pergigian kekal sebagai satu jabatan di bawah fakulti tersebut. Kelulusan LDS telah ditukarkan kepada Bachelor in Dental Surgery (BDS).

Berikutan perundangan yang telah diluluskan pada tahun 1961, Universiti Malaya (Singapura) ditukarkan kepada Universiti Singapura pada 1 Januari 1962. Ini juga telah menjurus kepada penubuhan Universiti Malaya (Kuala Lumpur) pada tahun yang sama. Walau bagaimanapun, hanya pada tahun 1972, Fakulti Pergigian Universiti Malaya telah ditubuhkan dengan pengambilan pertama sebanyak 32 orang pelajar. Perkembangan fakulti ini juga telah membawa kepada penubuhan latihan pasca-ijazah pada tahun 1994, dimulakan dengan Master in Community Dentistry dan kemudiannya dalam bidang pergigian klinikal. Setahun kemudian pada tahun 1995, program ijazah asas pergigian telah disemak dan tempoh pengajian telah dilanjutkan dari empat tahun kepada lima tahun. Kursus pengajian pergigian ini telah memperolehi pengiktirafan daripada General Dental Council of Great Britain pada tahun 1998.

Pusat Pengajian Pergigian yang kedua, Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditubuhkan pada 1997, diikuti pusat pengajian ketiga Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada tahun 1998 bagi mencapai unjuran keperluan 1 pengamal pergigian kepada 4,000 penduduk pada tahun 2020.

 

Pendidikan Auksiliari Pergigian

Jururawat Pergigian

Jururawat pergigian dilatih dan bekerja di sektor awam sahaja di mana piawaian serta kelayakannya dikawal oleh kerajaan. Di sektor awam, garis panduan praktikal, produktiviti sasaran, inisiatif penambahbaikan kualiti, pembelajaran berterusan, etika kerja dan tindakan tatatertib telah sedia ada wujud. Polisi kerajaan yang sedia ada menunjukkan kerajaan akan terus melatih jururawat pergigian bersandarkan keperluan perkhidmatan. Keperluan jururawat pergigian kini, telah pun melebihi bekalan berikutan perkembangan kesihatan pergigian awam di KKM. Pada peringkat permulaan iaitu pada tahun 1949, terdapat hanya lima orang jururawat pergigian dan kini pada Jun 2010, terdapat sebanyak 2,455 jururawat pergigian di KKM.

 

Juruteknologi Pergigian

Juruteknologi pergigian bermula sebagai mekanik pergigian yang dilatih di King Edward VII College, Singapura. Kursus bagi mekanik pergigian telah dimulakan di Kolej Latihan Pergigian, Pulau Pinang pada tahun 1951. Klasifikasi mekanik pergigian telah berkembang kepada juruteknik pergigian pada tahun 1959 dan kepada juruteknologi pergigian pada 1996 yang mencerminkan peranannya yang sebenar. Dalam KKM, juruteknologi pergigian tidak hanya berfungsi dalam makmal pergigian malahan juga bertanggungjawab kepada aspek kejuruteraan biomedik dalam pengurusan peralatan pergigian. Tidak seperti jururawat pergigian, juruteknologi pergigian boleh bekerja di sektor swasta.
 
Pembantu Pembedahan Pergigian

Pada tahun 1951, Skim Pembantu Jururawat (Pergigian) telah diperkenalkan bertujuan untuk memberikan sokongan klinikal kepada pegawai pergigian. Kumpulan auksiliari ini perlu mengikuti kursus selama dua tahun semasa dalam perkhidmatan. Walau bagaimanapun pada tahun 1995 mereka telah dikenali sebagai Pembantu Pembedahan Pergigian (PPP) sehingga ke hari ini. Program latihan PPP secara formal di Kolej Latihan Pergigian hanya dimulakan pada tahun 1982. Pada tahun 1993, kaedah latihan telah menggabungkan konsep pendidikan jarak jauh.

 

 

Penjagaan Kesihatan Pergigian Hari ini

 

Tumpuan awal negara telah membawa kepada pelbagai perkembangan penting dalam penjagaan kesihatan pergigian orang awam di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah lima-tahun Rancangan Malaysia. Pada masa kini, penjagaan kesihatan pergigian ditawarkan oleh kedua-dua sektor awam dan swasta di mana Bahagian Kesihatan Pergigian KKM bertindak sebagai peneraju utama profesion. Sektor swasta telah memberi sumbangan yang ketara walaupun ia lebih tertumpu di kawasan bandar yang padat dengan penduduk.

 

Kerjasama Antara Sektor Awam-Swasta

 

 

Pada peringkat awal, penjagaan kesihatan pergigian telah didominasi oleh sektor awam. Keseimbangan antara sektor awam-swasta telah menyaksikan perubahan demi perubahan terhadap pelbagai keadaan ekonomi. Pada perhujung tahun 2000, imbangan lebih cenderung ke arah sektor swasta. Kerajaan tidak hanya menyediakan penjagaan kesihatan tetapi juga memastikan penyebaran mesej-mesej kesihatan. Polisi ini telah membawa kepada perkembangan yang sihat sehingga tertubuhnya Unit Pendidikan Kesihatan Pergigian pada tahun 1979 di Bahagian Pergigian, Kementerian Kesihatan. Pada tahun 1994, nama unit ini telah ditukar kepada Unit Penggalakan Kesihatan Mulut bagi mencerminkan skop tanggungjawab melibatkan kesihatan dengan lebih jelas khususnya kesihatan pergigian. Begitu juga pada tahun 1996, nama Bahagian Pergigian telah ditukarkan kepada Bahagian Kesihatan Pergigian bagi mencerminkan konsep kesihatan pergigian secara holistik sebagai sebahagian daripada kesihatan umum.

.

 

Organisasi Profesional

 


Penjagaan kesihatan pergigian telah berkembang dengan banyak hasil sokongan daripada penubuhan organisasi profesional terutamanya daripada Persatuan Doktor-Doktor Pergigian Malaysia (MDA). MDA berkembang daripada Persatuan Pergigian Tanah Melayu yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1938. Profesor Edgar K. Tratman merupakan Presiden yang pertama. Nama MDA
telah diubah selaras dengan penubuhan Malaysia secara rasminya pada tahun 1963. Profesional pergigian boleh memilih untuk menjadi ahli MDA, yang sehingga kini mewakili kira-kira 80% daripada pengamal-pengamal pergigian yang berkelayakan. MDA telah menyumbang ke arah kemajuan profesion di negara ini. Pada masa ini terdapat pelbagai cabang organisasi pergigian lain yang mewakili pelbagai kumpulan dengan minat atau kecenderungan tertentu dan kepakaran-kepakaran klinikal.

 

Pengoperasian Penjagaan Kesihatan Pergigian Dalam Sektor Awam

 

Kementerian Kesihatan Malaysia memikul tanggungjawab yang utama dalam penyediaan penjagaan kesihatan pergigian. Penyertaan besar sektor awam telah menghasilkan pelbagai modus pengoperasian penjagaan kesihatan pergigian. Antara inisiatif utama dalam penjagaan kesihatan pergigian primer pihak Kementerian Kesihatan Malaysia adalah: Program pemfluoridaan bekalan air yang telah diluluskan secara rasmi sebagai dasar Jawatankuasa Kabinet pada 1972. Integrasi di antara penggalakan kesihatan mulut dengan program rawatan masyarakat melalui penempatan penjagaan kesihatan pergigian di luar kawasan klinik pergigian. Pemberian kuasa penjagaan kesihatan pergigian kepada pelbagai jenis kemudahan pergigian. Pengwujudan sistem rujukan yang komprehensif daripada penjagaan kesihatan pergigian primer ke penjagaan kesihatan pergigian kepakaran. Penubuhan program penjagaan pergigian secara inkremental yang komprehensif dan sistematik untuk murid sekolah.

Peningkatan Status Kesihatan Mulut

Pembangunan bidang pergigian di Malaysia telah menyaksikan banyak peningkatan dalam status kesihatan mulut. Sehingga kini, 15 kaji selidik kesihatan awam pergigian telah dijalankan untuk merekod kemajuan pelbagai aspek status kesihatan mulut. Data yang didokumenkan sejak kaji selidik pergigian yang pertama melibatkan murid-murid sekolah pada 1970-1971 dan kaji selidik 1997 menunjukkan penurunan karies antara 27% pada gigi susu di usia 6 tahun kepada 57% pada gigi kekal di usia 12 tahun. DMFX kanak-kanak berusia 12 tahun telah menunjukkan penurunan tiga kali ganda daripada 3.7 pada tahun 1970-71 kepada 1.6 di Semenanjung Malaysia pada tahun 1997. Tahap indeks karies gigi bagi umur 12 tahun sekarang ini adalah 'rendah' di bawah klasifikasi karies oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia

Perancangan Masa Depan: Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan

 

Kerajaan berhasrat untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Dari visi 2020 inilah, Bahagian Kesihatan Pergigian telah mengambil langkah ke hadapan untuk merangka Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan (NOHP) pada tahun 2010. Pelan ini mengandungi matlamat dan strategi kesihatan mulut. Sasaran ditakrifkan dalam empat keadaan mulut; karies gigi, keadaan periodontal, kanser mulut dan kecederaan gigi. Pelan ini juga menggariskan strategi untuk memastikan bahawa semua pihak yang terlibat akan memainkan peranan masing-masing ke arah meningkatkan kesihatan mulut dan kualiti hidup rakyat Malaysia

KESIMPULAN

Bidang pergigian yang pada awalnya bermula secara kecil-kecilan dari suatu aktiviti perdagangan pada awal abad telah berkembang pesat menjadi satu disiplin bioperubatan yang dihormati di Malaysia. Mengimbas kembali masa lampau mungkin suatu usaha yang sia-sia jika dilakukan tanpa memperolehi pengajaran. Sehubungan itu, segala pengajaran dari masa lampau telah menyaksikan kesihatan pergigian berkembang kepada agenda kesihatan mulut yang bersifat holistik. Pembangunan progresif melalui lima tahun Rancangan Malaysia telah memperkembangkan lagi kemudahan dalam sektor awam di samping pembangunan sumber manusia dalam bidang pergigian. Seiring dengan perkembangan tersebut, golongan kanak-kanak di Malaysia menunjukkan peningkatan yang sangat baik dalam status kesihatan mulut. Rakyat Malaysia kini sedang menikmati perkhidmatan kesihatan pergigian yang setanding dengan negara-negara maju. Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2010 dijangka bakal merekodkan hala tuju untuk masa depan bagi memastikan peningkatan kesihatan pergigian yang lebih cemerlang demi manfaat rakyat Malaysia.

 

 

1. Sundram CJ. A review of dental problems in the Federation of Malaya. J Dent Aux Malaya 1963;1(1):15-24
2. Dental Services Division, Ministry of Health Malaysia. Dental Epidemiological Survey of School Children in West Malaysia 1970-1971. Kuala Lumpur : Government Printers, 1972
3. Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. National Oral Health Survey of School Children 1997 (NOHSS '97). MOH/K/GIG/6.98(RR), 1998

BIBLIOGRAPHY

1. Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. Through the Dental Mirror : A History of Dentistry in Malaysia. Second Edition, 2003
2. Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. Oral Healthcare in Malaysia. MOH/K/GIG/4.2001(BK), August 2001
3. Sundram CJ. The Education of Dental Nurses and Dental Technicians Malaya, Malaysia. J Dent Aux 1963;3(1):28-36
4. Abdul Karim ND. Public Dental Health Services. J Dent Aux 1963;3(1): 4-14
5. Abdul Karim ND. Malaya. In Public Dental Services: World Wide. Ed. Walker RD. ADA-FDI, San Francisco, 1964
6. Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. Notes from the National Archives. Detik Sejarah Pergigian Di Malaysia : 1869-1988
7. Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. Notes from the National Archives. Biography on Health
8. Ministry of Health Singapore. Dentistry in Singapore : 1819-1996. Times Edition Pte Ltd, 1996

 

 

Copyright© 2012, Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia.
Privacy Policy | Security Policy | Sitemap | Help
DISCLAIMER: Oral Health Division shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this portal.
Best viewed using Internet Explorer 7 or Mozilla Firefox with 1024x768 screen resolution