Membawa Penjagaan Kesihatan Mulut Kepada Masyarakat

Pada separuh akhir tahun 1920-an juga pentadbir British mula serius merancang secara teratur organisasi pergigian. Pada tahun 1929, sebuah bangunan di kawasan Pudu Kuala Lumpur, yang sebelum ini menempatkan golongan miskin, telah ditukar kepada klinik pergigian kerajaan yang pertama. Ia telah dirobohkan 43 tahun kemudian iaitu pada tahun 1972, dan digantikan dengan bangunan Cahaya Suria yang dimiliki oleh Lembaga Pembangunan Bandar (UDA). Dua tingkat dari bangunan 16 tingkat tersebut telah diperuntukkan bagi penempatan ibu pejabat Jabatan Pergigian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun 1946, Bahagian Pergigian telah ditubuhkan di Jabatan Perubatan dan seorang profesional telah dilantik untuk mengetuai perkhidmatan pergigian di Tanah Melayu. Encik Charles F. Mummery, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pergigian Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju perkhidmatan pergigian awam.

Perkhidmatan kesihatan awam pergigian bermula dengan doktor-doktor pergigian British (Pegawai Pergigian Kerajaan secara rasminya) yang bekerja di hospital besar dan dibantu oleh doktor-doktor pergigian tempatan yang berkelayakan. Doktor-doktor pergigian ini melawat daerah atau bandar untuk menjalankan rawatan pergigian kecemasan bagi tempoh satu atau dua hari seminggu. Pusat jagaan pergigian sambilan ini kemudiannya menjadi klinik pergigian kerajaan sepenuh masa yang dikendalikan oleh doktor gigi yang berkelayakan.

Pada tahun 1947, terdapat 20 pegawai pergigian dalam sektor awam. Sebahagian besar perkhidmatan terus disediakan oleh sektor swasta yang terdiri daripada 50 doktor pergigian swasta dan kira-kira 400 doktor gigi berdaftar Divisi II.

Perancangan pembangunan dan pengenalan Rancangan Lima Tahun bermula pada masa pembinaan semula selepas perang koloni Tanah Melayu. Tidak ada perancangan yang khusus bagi penjagaan kesihatan pada masa itu, sebaliknya penjagaan kesihatan adalah merupakan sebahagian daripada senarai projek-projek jabatan kerajaan yang menggunakan sumber kewangan yang sedia ada. Berikutan Perang Dunia Kedua, Darurat telah mengakibatkan sebahagian besar daripada sumber kerajaan serta tenaga telah digunakan. Oleh itu tidak banyak yang dilakukan dalam perancangan penjagaan kesihatan sehingga penubuhan Rancangan Tanah Melayu Pertama (1956-1960) dan Rancangan Tanah Melayu Kedua (1961-1965). Rancangan Lima Tahun Tanah Melayu telah menggalakkan perkembangan penjagaan kesihatan dan memangkin perkembangan perkhidmatan awam pergigian.

Selepas itu, Rancangan Tanah Melayu telah menjadi Rancangan Malaysia Kelima. Rancangan ini memperlihatkan kekuatan transformasi sektor perkhidmatan kesihatan pergigian awam kepada perkhidmatan yang menyeluruh dan disentralisasi pada masa kini. Pada tahun 1970, terdapat hanya 398 klinik pergigian pelbagai jenis. Kini, kita berada di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas dan terdapat sejumlah 1,670 kemudahan pergigian pelbagai jenis sehingga akhir tahun 2017.

 

3.1 Keprihatinan Negara Terhadap Kesihatan Pergigian

Antara tahun 1952 hingga 1963, profesion pergigian mula menyatakan kebimbangan terhadap kesihatan pergigian negara. Walaupun tempoh tersebut menyaksikan lebih ramai doktor pergigian menyertai sektor swasta, beberapa negeri yang sebelum ini berada di bawah kawalan pusat, telah diberi mandat untuk membangunkan program-program kesihatan pergigian mereka sendiri di bawah arahan Ketua Pegawai Pergigian. Pada peringkat ini, klinik pergigian bergerak telah ditubuhkan. Perkhidmatan kesihatan pergigian telah diperluaskan kepada penduduk luar bandar dengan memberi penekanan kepada kanak-kanak sekolah dan ibu mengandung dan pendidikan kesihatan pergigian telah diintegrasikan ke dalam penjagaan pergigian. Klinik pergigian telah ditubuhkan untuk orang awam dan untuk kumpulan tertentu seperti anggota polis, angkatan tentera, banduan, pesakit kusta dan pesakit TB.

Pada ketika ini, perkhidmatan kesihatan pergigian memberi tumpuan kepada kanak-kanak toddler, pra sekolah dan golongan remaja lepasan sekolah. Selain itu, golongan warga emas juga diberi tumpuan, mengambil kira kedudukan negara yang akan mempunyai warga emas yang ramai pada tahun 2030.

 

3.2 Penjagaan Kesihatan Mulut Murid Sekolah

Pada awal tahun 1940an, bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun merangkumi 50% populasi dan mempunyai status kesihatan mulut yang membimbangkan. Pertimbangan serius telah dibuat untuk memberi perkhidmatan pergigian khas bagi murid-murid sekolah. Pada tahun 1948, perkhidmatan pergigian untuk murid-murid sekolah telah dilancarkan. Pada tahun yang sama skim jururawat pergigian diperkenalkan dimana kategori anggota ini dibenarkan memberi rawatan kepada murid sekolah di bawah penyeliaan. Pada mulanya skim jururawat pergigian menerima bantahan yang kuat dari profesion, tetapi kemudiannya diterima setelah berjaya membuktikan pendekatan ini adalah inovatif dan membawa manafaat kepada negara.

Sehingga tahun 1952, 19 buah klinik pergigian sekolah telah diwujudkan. Pada tahun berikutnya, perkhidmatan pergigian dimasukkan sebagai salah satu komponen dipusat kesihatan. Apabila Skim Perkhidmatan Kesihatan Pendalaman diperkenalkan pada tahun 1955, perkhidmatan pergigian diperluaskan kepada rakyat di kawasan pendalaman. Pada tahun kemerdekaan iaitu 1957, 55 buah pusat pergigian sekolah dan 40 buah klinik pergigian sekolah yang dikendalikan oleh jururawat pergigian telah diwujudkan. Sehingga tahun 2017, bilangan klinik telah melonjak kepada 923 buah klinik pergigian sekolah, termasuklah pusat pergigian sekolah.

Perkhidmatan pergigian sekolah sekarang merupakan perkhidmatan utama dalam sektor awam. Melalui strategi pasukan bergerak yang telah dilaksanakan sejak awal 1970’an, liputan diperluaskan kepada hampir 92% murid sekolah rendah dan 60% murid sekolah menengah. Pasukan ini dikenali secara tidak rasmi sebagai “skuad terbang”, pasukan bergerak ini yang mengguna peralatan mudah alih telah memperluaskan perkhidmatan ke serata tempat. Bilangan pasukan bergerak telah bertambah dari 13 pasukan pada tahun 1970 kepada 606 pasukan (termasuk 36 klinik bergerak) pada tahun 2017.

 

3.3 Penjagaan Kesihatan Mulut Rakyat

Perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut kepada orang awam disampaikan melalui klinik pergigian. Sebuah klinik pergigian utama telah beroperasi secara rasmi di Kuala Terengganu pada tahun 1954 untuk memberi perkhidmatan kepada orang awam. Ini disusuli dengan pembinaan klinik pergigian utama di negeri lain.

Satu peristiwa penting pada masa itu adalah perluasan bidang kepakaran dengan penghantaran pegawai pergigian keluar negara dalam bidang bedah mulut, ortodontik dan pergigian masyarakat. Perkhidmatan kepakaran dimulakan pada tahun 1950 dengan penubuhan pusat bedah mulut di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

 

Kronologi Pembangunan Perkhidmatan Kepakaran Pergigian Dalam Kementerian Kesihatan Malaysia

Tahun

Disiplin Kepakaran

Bilangan Pakar

(Sehingga 30 sept. 2018)

1950

Bedah Mulut

78

1954

Ortodontik

70

1961

Kesihatan Awam Pergigian

87

1967

Perubatan Mulut dan Patologi Mulut

14

1984

Periodontologi

42

1985

Pergigian Paediatrik

45

2005

Pergigian Restoratif

31

2007

Pergigian Forensik

1

2010

Pergigian Keperluan Khas

5

 

JUMLAH PAKAR

373

 

3.4 Penjagaan Kesihatan Mulut untuk Kumpulan Populasi yang Spesifik

Kumpulan populasi yang spesifik juga berpeluang mengakses perkhidmatan pergigian yang didedikasikan khas kepada mereka. Pada tahun 1953, Jabatan Orang Asli ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan kepada kumpulan pribumi yang menetap di kawasan pendalaman Malaysia. Bahagian Kesihatan dan Perubatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi perkhidmatan pergigian kepada orang asli sehingga tahun 2012. Kini, penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian telah di ambil alih oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada tahun 1955, sebuah klinik pergigian dibuka di Pusat Kusta Sungai Buloh, Selangor untuk memberi perkhidmatan kepada penghuninya. Dua buah klinik pergigian untuk anggota polis telah dibina di Kuala Lumpur dan Ipoh. Pada tahun 1960an, perkhidmatan pergigian diperluaskan ke Penjara Pudu di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1958, Perkhidmatan Pergigian Angkatan Tentera (AFDS) telah ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan pergigian kepada anggota tentera dan keluarga mereka. Pada mulanya, pegawai pergigian dipinjamkan daripada Kementerian Kesihatan. Fokus utama adalah untuk mencapai dan mengekalkan kesediaan untuk pertempuran dan kecergasan tentera. AFDS kini juga melaksanakan program outreach sebagai tugas sivik dan telah dikerahkan keluar negara secara aktif ke tempat-tempat tentera Malaysia ditempatkan. Konsep outreach ini tidak sahaja terhad kepada klinik bergerak di darat sahaja. Malahan pada tahun1958, klinik pergigian angkatan laut mula beroperasi dan memberi perkhidmatan pergigian di sepanjang Sungai Perak.

077772
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Minggu lepas
Bulan ini
Bulan-bulan sebelum
Jumlah
237
566
2137
72274
12348
14894
77772

Your IP: 3.235.172.213
2020-05-29 06:32
 
Hubungi kami Media Sosial  

Program Kesihatan Pergigian 

Aras 5, Blok E10, Kompleks E,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62590 Wilayah Persekutuan Putrajaya

Malaysia

Tel : 03-8883 4215

Faks : 03-8888 6133

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENAFIAN: Program Kesihatan Pergigian tidak akan

bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang

diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

 

 

Tarikh kemaskini : 11 Mei 2020

 

Hakcipta Terpelihara © 2012 - 2019, Program Kesihatan Pergigian, KKM

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Sitemap | Bantuan