Mengawal Selia Profesion

Senario di atas telah membawa kepada keperluan untuk mengawal selia profesion pergigian. Pada separuh akhir tahun 1920-an menyaksikan tumpuan yang lebih dalam mengawal selia amalan pergigian. “Registration of Dentists’ Ordinance of the Straits Settlement” yang pertama telah digubal pada tahun 1924, manakala Negeri-negeri Melayu Bersekutu mempunyai “Registration of Dentists Enactment” yang berasingan pada tahun 1931. Walaubagaimanapun, Ordinan 1924 ini mempunyai kekurangan dalam banyak aspek yang membawa kepada pemansuhannya pada tahun 1933, justeru undang-undang kedua yang dikenali sebagai “Ordinance for Registration of Dentists 1933” telah diluluskan di mana undang-undang ini melarang amalan pergigian oleh doktor pergigian yang tidak berkelayakan dan merupakan bukti kepada pengakhiran untuk doktor-doktor pergigian di jalanan.

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua (1941-1945), undang-undang pergigian telah diperkukuhkan lagi dengan penggubalan “Registration of Dentists’ Ordinance” pada tahun 1948. Undang-undang ini hanya membenarkan individu yang berkelayakan dimasukkan ke dalam Daftar Pergigian. Doktor pergigian yang berkelayakan dalam sektor awam dan swasta didaftarkan di bawah kategori Doktor Gigi Divisi I. Walau bagaimanapun, terdapat satu klausa yang membenarkan kemasukan doktor pergigian tidak berkelayakan yang telah mengamal di bawah seksyen yang berasingan sebagai Doktor Gigi Berdaftar Divisi II. Syarat ditetapkan bahawa mereka perlu berjaya menjalani peperiksaan yang dijalankan oleh Lembaga Pergigian yang ditubuhkan pada tahun yang sama.

Pada masa itu, hanya terdapat 50 doktor pergigian berkelayakan dalam Daftar Pergigian dan 166 doktor pergigian yang tidak berkelayakan. Sehingga 31 Julai 2008, terdapat 3165 doktor pergigian berkelayakan di perkhidmatan awam dan swasta dan 45 doktor gigi Divisi II yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

Penggubalan Akta Pergigian 1971 oleh parlimen akhirnya memberi pengiktirafan kepada profesion pergigian dan menandakan pewujudan era baru pergigian di Malaysia. Majlis Pergigian Malaysia (MPM) telah ditubuhkan di bawah Akta ini sebagai badan eksekutif untuk mengawal selia profesion. Akta ini menghuraikan ciri-ciri yang berkaitan dengan pendaftaran dan pengeluaran sijil pengamalan, pengekalan piawaian professional dan memberi kuasa kepada profesion untuk mendisiplinkan ahli-ahlinya sendiri. Pendaftaran doktor gigi Divisi II kemudiannya ditutup pada tahun 1972.

Akta Pergigian 1971 telah mengalami beberapa pindaan. Pertama, pada tahun 1997 adalah untuk menambahkan keanggotaan Majlis Pergigian Malaysia dari 20 kepada 24 ahli, dan mengukuhkan penalti bagi kesalahan di bawah Akta. Pindaan lain adalah menangani kekurangan doktor pergigian yang bekerja di sektor awam yang membawa kepada khidmat wajib tiga tahun bagi pendaftar baru berkuatkuasa 29 Jun 2001. Pada tahun 2012, Majlis Pergigian Malaysia dalam satu mesyuarat ke-97 bertarikh 29 Februari 2012 telah bersetuju mengurangkan tempoh khidmat wajib dari 3 kepada 2 tahun, berkuatkuasa pada 5 April 2012. Seterusnya pada tahun 2015, majlis sekali lagi telah bersetuju mengurangkan tempoh khidmat wajib dari 2 kepada 1 tahun, berkuatkuasa pada 1 Julai 2015.

Akta Pergigian 2018 (Akta 804) telah diluluskan pada 19 Jun 2018 dan telah digazetkan pada 26 Jun 2018 bagi menggantikan Akta Pergigian 1971. Akta ini mempunyai implikasi penting antaranya, pendaftaran dan pengamalan juruterapi Pergigian di sektor swasta, Pembangunan Profesional Berterusan (PPB), perlindungan indemniti professional dan keupayaan penguatkuasaan. Sesi penerangan kepada pengamal-pengamal pergigian telah diadakan di seluruh negeri kecuali Perlis dan Labuan dari 20 Julai hingga 5 Oktober 2018.

Unit Undang-Undang dan Penguatkuasaan telah diwujudkan di Bahagian Kesihatan Pergigian pada tahun 2007. Unit ini berkerjasama dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta di Bahagian Amalan Perubatan untuk melaksana dan menguatkuasakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan peraturan peraturan berkaitan. Pegawai-pegawai pergigian telah dilantik sebagai pegawai penguatkuasa dan pada ketika ini terdapat 43 orang penguatkuasa di seluruh negara.

Semenjak penguatkusaan Akta 586 tersebut, sebanyak 2,753 klinik pergigian telah didaftarkan di seluruh negara. Pemantauan berkala telah dijalankan dari masa ke semasa untuk memastikan klinik-klinik pergigian mematuhi peraturan-peraturan yang telah digariskan. Selain itu, aktiviti-aktiviti penguatkuasaan telah dijalankan dan hasilnya sebanyak 46 kes telah dibawa ke mahkamah. Daripada jumlah tersebut, 26 kes melibatkan pendakap gigi palsu dan 17 kes melibatkan pengamal pergigian haram.

077706
Hari ini
Semalam
Minggu ini
Minggu lepas
Bulan ini
Bulan-bulan sebelum
Jumlah
171
566
2071
72274
12282
14894
77706

Your IP: 3.235.172.213
2020-05-29 04:58
 
Hubungi kami Media Sosial  

Program Kesihatan Pergigian 

Aras 5, Blok E10, Kompleks E,

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62590 Wilayah Persekutuan Putrajaya

Malaysia

Tel : 03-8883 4215

Faks : 03-8888 6133

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENAFIAN: Program Kesihatan Pergigian tidak akan

bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang

diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

 

 

Tarikh kemaskini : 11 Mei 2020

 

Hakcipta Terpelihara © 2012 - 2019, Program Kesihatan Pergigian, KKM

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Sitemap | Bantuan